Select Page

Formula 1: Perubahan jentera diharap kembalikan Mercedes sebagai juara dunia

Formula 1: Perubahan jentera diharap kembalikan Mercedes sebagai juara dunia

 

JUARA pengeluar lapan kali Formula 1, Mercedes berharap perubahan yang dilakukan terhadap jentera mereka untuk musim 2023 dapat membawa kembali mereka muncul sebagai juara dunia.

Selepas menjuarai kategori pengeluar sebanyak lapan kali berturut-turut dari 2014 hingga 2021, kejuaraan Mercedes berakhir musim lalu dengan hanya menduduki tempat ketiga di belakang juara, Red Bull Racing dan Scuderia Ferrari.

Tambah malang, Mercedes hanya mampu mencatat satu kemenangan sahaja menerusi George Russell yang menjuarai Grand Prix Brazil manakala Lewis Hamilton gagal memenangi perlumbaan buat kali pertama dalam kariernya.

Toto Wolff

Ketika Red Bull dan Ferrari pantas mengadaptasi perubahan regulasi yang berlaku pada 2022, Mercedes bergelut dengan perubahan teknikal ini yang menyaksikan mereka berhempas pulas mengatasi masalah henjutan pada jentera pada keseluruhan musim lalu.

Prinsipal Pasukan Mercedes, Toto Wolff memberitahu bahawa pasukannya sudah berjaya mengatasi masalah utama itu dengan melakukan perubahan terhadap struktur dan susun atur jentera bagi musim 2023 ini.

Dia juga tidak mahu terlalu teruja untuk mengatakan Mercedes sudah kembali sebaliknya mahu melihat dahulu prestasi jentera terutama pada peringkat permulaan musim yang meliputi 23 perlumbaan ini.

“Kami percaya kami sudah berjaya mengatasi masalah utama yang menyebabkan henjutan jentera yang tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada jentera 2022 dan yakin ianya akan lebih mudah untuk musim 2023 nanti.

“Kami menukar beberapa bahagian utama dan susun atur jentera yang akan memberikan kami petanda yang lebih baik. Tetapi oleh kerana peraturan yang baru, kadang kala anda akan menemui satu masalah dan kemudiannya anda sedar ada satu lagi masalah disebaliknya.

“Oleh itu kami perlu bersikap rendah diri dan tidak terlalu teruja untuk mengatakan yang kami sudah kembali dalam perebutan kejuaraan dan terus memenangi perlumbaan pada perlumbaan pertama. Saya tidak sabar untuk menghadapi musim ini,” jelasnya.

Sementara itu, pelumba Mercedes yang juga juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton berharap Mercedes akan kembali dapat pemburuan kejuaraan untuk musim 2023 dan dia juga menamakan dua pasukan yang dijangkakan mampu untuk memberikan cabaran di kelompok hadapan.

Lewis Hamilton

Lewis masih merasakan Red Bull dan Ferrari akan menjadi pesaing utama buat Mercedes dan berharap McLaren dan Alpine dapat menyertai perebutan kejuaraan bagi menjadikan siri perlumbaan ini lebih menarik dan mendebarkan.

Adakah Mercedes akan kembali semula menjadi pencabar kejuaraan musim ini? Segala-galanya akan terjawab apabila tirai Formula 1 disingkap pada Grand Prix Bahrain pada 3 hingga 5 Mac 2023.

Video Terkini

Loading...