SKUAD kebangsaan futsal negara mengumumkan pemain untuk menyertai kem latihan pusat dari 19 Mac hingga 9 April 2024 sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Futsal AFF 2024 di Thailand dari 11 hingga 19 Mei 2024.

Anak didik Rakphol Sainetngam akan menjalani latihan tempatan pada 19 dan 20 Mac 2024 sebelum terbang ke Bangkok, Thailand pada 21 Mac 2024 bagi menghadapi kejohanan jemputan empat penjuru di Nonthaburi.

Malaysia akan bertemu Afghanistan bagi perlawanan pertama pada 24 Mac diikuti perlawanan kedua berdepan tuan rumah, Thailand (25 Mac) dan perlawanan ketiga menentang Australia (27 Mac).

Seterusnya pada Khamis, 28 Mac, pasukan yang menduduki tempat ketiga dan keempat dalam format liga sepusingan itu akan bertembung bagi perlawanan penentuan tempat ketiga.

Manakala dua pasukan teratas bakal bertemu di final bagi menentukan kejuaraan.

Skuad futsal Harimau Malaya akan kembali ke tanah air pada 29 Mac untuk menyambung kem latihan pusat tempatan sebelum terbang pula ke Ho Chi Minh City, Vietnam pada 5 April 2024 bagi mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di sana dan pulang ke tanah air pada 9 April 2024.

ARTIKEL BERKAITAN : Rakphol gembira FA Thailand jemput Malaysia sertai kejohanan pemanas badan