GANDINGAN beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah meneruskan prestasi cemerlang mereka di kejohanan Masters Indonesia dengan mara ke perlawanan akhir.
Pearly-Thinaah bangkit dengan penuh bergaya apabila menewaskan pasangan Korea Selatan, Lee Yu-lim-Lee Yeon-woo dengan keputusan 21-19, 21-16 di Istora Senayan, Jakarta, pada Sabtu.
Beregu ranking ketujuh dunia itu kini berjaya melangkah ke final pertama mereka sejak muncul naib juara di tangan pasangan ranking kedua dunia dari China, Liu Shengshu-Tan Ning, di Arctic Open pada Oktober lalu.
Cabaran seterusnya untuk Pearly-Thinaah bagi meraih gelaran juara pertama mereka tahun ini adalah pasangan Korea Selatan, Kim Hye-jeong-Kong Hee-yong.
Gandingan nombor satu negara itu sebelum ini tewas kepada pasangan Korea tersebut di separuh akhir Terbuka India di New Delhi minggu lalu dan kali ini akan turun dengan misi membalas dendam.
Kali terakhir Pearly-Thinaah menjulang gelaran juara adalah pada Terbuka Hong Kong, September lalu. Jika mereka berjaya memenangi final kali ini, mereka akan menjadi pasangan beregu wanita kedua dari Malaysia yang menjuarai kejohanan ini selepas pencapaian Woon Khe Wei-Vivian Hoo pada tahun 2011.