PENYOKONG bola sepak Terengganu kesal dengan sikap beberapa pengusaha bas di negeri ini yang mengambil kesempatan menaikkan kadar sewa bas sehingga sekali ganda menjelang aksi akhir Piala Malaysia 2023, 9 Disember depan.

Ahli Majlis Tertinggi Ganusoccer.net, Bisharuzi Omar berkata, tindakan sedemikian boleh mematikan keghairahan peminat bola sepak negeri ini yang berdepan bukan sahaja harga tiket yang mahal, malah perlu menanggung kos pengangkutan yang melambung.

Malah, FLASH SUKAN difahamkan harga sewaan bas mencecah RM5,000 bagi setiap perjalanan rombongan ke ibu negara seperti yang tular dalam beberapa Kumpulan WhatsApp sejak semalam.

Namun demikian, belum disahkan adakah harga sedemikian muktamad ataupun baru fasa perbincangan di kalangan pengusaha bas terlibat seperti yang diperdebatkan peminat.

Final Piala FA : Ahli ganusoccer.net sedia ‘gegar’ Stadium Bukit Jalil

“Selepas mara ke final Piala Malaysia 2023 sudah dengar bunyi desas-desus harga tiket bas akan dinaikkan daripada pengusaha bas.

“Disebabkan permintaan akan meningkat, dan pasukan Terengganu jarang dapat pergi ke pentas final, kali terakhir dalam saingan final Piala FA 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Sudah tentu harga sewaan pasti meningkat disebabkan kos pengurusan dan penyelenggaraan bas pun semakin meningkat.

“Wujud pro dan kontra dan pengusaha bas wajar menaikkan harga sewaan bas tetapi sebaiknya dengan kadar yang tidak membebankan pengguna,” katanya ketika dihubungi.

Tangkap layar di aplikasi WhatsApp yang tular sejak semalam.

Walau bagaimanapun, sebagai penyokong tegar dan setia, anak jati Terengganu yang berusia 48 tahun itu pernah menyandang jawatan Pengarah Kejohanan Futsal e-fan Liga Malaysia dan media percaya kebanjiran sokongan penuh daripada peminat Penyu tetap dizahirkan dalam suasana akhir nanti.

May be an image of football, american football, crowd and text

 

“Saya percaya meskipun harga dinaikkan pasti penyokong Terengganu tetap akan pergi dengan bas yang disediakan oleh pengusaha bas di daerah masing-masing.

“Mungkin bas-bas di bawah kerajaan negeri boleh digunakan bagi menampung permintaan penyokong pasukan Terengganu ke Kuala Lumpur bagi pengurangan kos ini,” ujarnya lagi.

Terengganu akan bertemu penyandang juara, Johor Darul Ta’zim pada perlawanan akhir yang berkemungkinan berlangsung di Bukit Jalil bulan depan.