UNIVERSITI Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) B mengukuhkan kedudukan sebagai juara Kategori Beregu Premier dalam Liga Varsity Sepak Takraw League (VSL) Grand Final 2024 yang berakhir di Putrajaya.
Namun, perjalanan kejuaraan ini tidak mudah. Dalam aksi final menentang Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), UPNM B memulakan langkah dengan kekalahan tipis 14-17 di set pertama.
Keazaman pasukan UPNM terserlah apabila mereka bangkit pada set kedua dengan aksi bertenaga untuk menang besar 15-4, sekali gus memaksa perlawanan ke set penentuan.
Set penentuan menyaksikan kedua-dua regu meningkatkan intensiti permainan dengan pertukaran mata yang sengit. Akhirnya, UPNM B berjaya menewaskan SSBJ dengan keputusan 15-11 untuk meraih gelaran juara.
Pengurus UPNM, Mohd Aniq Hilman Abdul Mutallip, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai kejayaan manis, terutama selepas mereka tewas kepada SSBJ dalam suku akhir Sirkit 2 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada Mei lalu.
“Saya amat berpuas hati dengan prestasi pemain yang menunjukkan usaha dan komitmen tinggi sejak awal latihan intensif sehingga ke perlawanan akhir.
“Insya-Allah, kami akan meningkatkan lagi latihan dan mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan untuk mematangkan pemain apabila berdepan pasukan berintensiti tinggi,” katanya.
Dalam kejohanan ini, UPNM mempertaruhkan tiga pemain utama iaitu Muhammad Azib Mohd Zu, Mohammad Haizam Huzairi Saipul Nizam, dan Muhammad Aiman Husni Abdul Hadi untuk kategori Beregu Premier.
Dalam Kategori Regu Premier, SSBJ mencatat kemenangan ke atas Universiti Putra Malaysia (UPM) A dengan keputusan 2-1. Walaupun bermula goyah dengan kekalahan 15-17 pada set pertama, SSBJ bangkit untuk menang set kedua 15-13 dan set penentuan 15-11.
Sementara itu, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) A mendominasi Kategori Beregu Elit dengan menundukkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) A, 17-15, 15-3.
Kategori Regu Elit pula menyaksikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) A tampil unggul apabila menewaskan Kolej Komuniti Malaysia (KK MAS) A dengan kemenangan 2-0 (15-10, 15-9).