Chelsea FC mengumumkan pemecatan pengurus, Liam Rosenior selepas kurang empat bulan mengendalikan pasukan.

Rosenior yang dilantik pada Januari 2026 bagi menggantikan Enzo Maresca pada awalnya mempamerkan permulaan memberangsangkan apabila mencatat enam kemenangan daripada tujuh perlawanan pertama dalam semua kejohanan.

Prestasi positif itu turut membantu Chelsea mara ke peringkat kalah mati saingan Eropah, namun momentum pasukan mula merosot selepas itu.

The Blues kemudian tersingkir daripada saingan Eropah dengan keputusan agregat besar 8-2 kepada Paris Saint-Germain, sekali gus menjejaskan kedudukan Rosenior.

Prestasi dalam liga domestik turut membimbangkan apabila Chelsea tewas lima perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, selain gagal menjaringkan gol dan bolos sebanyak 11 kali dalam tempoh tersebut.

Keputusan buruk itu menyebabkan kedudukan pasukan merosot ke tangga ketujuh, hanya beberapa mata memisahkan mereka dengan kelompok pertengahan liga.

Dalam satu kenyataan, pihak kelab memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas menilai prestasi semasa yang tidak mencapai standard ditetapkan.

Chelsea turut merakamkan penghargaan terhadap profesionalisme Rosenior sepanjang tempoh singkat bersama kelab itu.

Sebelum ini, pengendali berkenaan turut mengkritik prestasi pemain selepas kekalahan kepada Brighton & Hove Albion, dengan menyifatkan tahap permainan pasukan tidak memuaskan.

Chelsea kini dijadual berdepan Leeds United dalam aksi separuh akhir Piala FA, yang menjadi satu-satunya peluang mereka untuk memburu trofi musim ini.

Sumber Gambar: FB Chelsea FC