PENJAGA gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi muncul wira skuad Harimau Malaya apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti pada minit terakhir perlawanan untuk membantu Malaysia menewaskan Myanmar 1-0 di Stadium Thuwunna Yangon.

Selain menyelamatkan sepakan penalti, Syihan juga beraksi cemerlang menyelamatkan beberapa lagi percubaan jarak jauh Myanmar dengan aksi akrobatik yang menarik dalam aksi pertama Kumpulan B Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Dia yang ditemui selepas perlawanan berkata kejayaan menyelamatkan penalti ini adalah rezeki daripada Allah dan dia juga berterima kasih kepada semua rakan sepasukan yang memberikan segala-galanya dalam perlawanan.

“Syihan hanya mampu katakan Alhamdulillah atas rezeki ini. Ini adalah rezeki kami sebagai satu pasukan. Syihan mahu berterima kasih kepada jurulatih, rakan sepasukan dan semua penyokong yang mendoakan Syihan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Syihan juga turut mengatakan bahawa gayanya meraikan kejayaan yang dikatakan mirip penjaga gol Argentina, Emmi Martinez adalah sebagai spontan kerana terlalu gembira dapat membantu pasukan meraih kemenangan.

“Gaya ‘celebration’ saya itu terjadi secara spontan kerana terlalu gembira dengan kemenangan ini yang pastinya menjadi pemangkin buat kami pergi lebih jauh lagi dalam pertandingan ini dan berterima kasih pada semua yang berikan 100 peratus komitmen kepada pasukan,” tambahnya.

Syihan yang namanya meningkat naik ketika mewakili Negeri Sembilan FC kini telah beberapa kali menjadi penyelamat buat skuad negara selepas kali terakhir cemerlang menafikan penalti Thailand dalam Kejohanan King’s Cup di Chiang Mai.