PENYOKONG tegar Harimau Malaya seakan ‘panik’ situasi terkini yang melibatkan pengunduran jurulatih Pau Marti Vicente sebelum Kejohanan Piala Mitsubishi Electric ASEAN (AMEC) 2024 pastinya mencetuskan rasa kurang senang.

Pengumuman ini, dibuat ketika persiapan pasukan sedang berada di fasa kritikal, menimbulkan persoalan sama ada ia waktu yang sesuai dan bagaimana ia akan mempengaruhi moral pasukan.

Keputusan ini boleh mencipta tekanan tambahan terhadap pemain, terutama apabila mereka bakal berdepan saingan sengit di pentas Asia Tenggara. Selain itu, isu pemilihan pemain turut mendapat perhatian.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 16 Julai lepas melantik Pau Marti sebagai pemangku Ketua Jurulatih skud Harimau Malaya susulan pengunduran Kim Pan Gon daripada jawatan tersebut.

Vicente yang sebelum ini memainkan peranan sebagai penolong kepada skuad kejurulatihan Pan Gon sempat mengendalikan skuad kebangsaan itu menghadapi jadual padat perlawanan termasuk Pestabola Merdeka dari 2 hingga 10 September 2024 sebelum pelantikan tetap pengganti Pan Gon ditentukan kemudian.

Peminat bola sepak negara agak terkejut pengumuman dibuat FAM mengenai Pau Marti semalam.

Namun begitu, FAM ada hujah tersendiri. Keputusan ini dibuat berdasarkan perbincangan bersama badan induk bola sepak itu berhubung penstrukturan semula Pengurusan Pasukan Kebangsaan.

Penstrukturan ini melibatkan pelantikan ketua jurulatih baharu serta barisan kejurulatihan yang akan memimpin pasukan untuk kempen Kelayakan Piala Asia 2027, yang dijadualkan bermula tahun depan.

Dalam pada itu, memanggil pemain yang masih dalam proses pemulihan kecederaan atau kurang minit permainan bersama pasukan negeri mungkin bukan pilihan terbaik. Pemilihan berdasarkan prestasi semasa dan kesediaan fizikal sepatutnya menjadi keutamaan untuk memastikan pasukan berada pada tahap terbaik.

Namun, ini bukan masanya untuk menoleh ke belakang. Sebaliknya, Harimau Malaya perlu bangkit dan menjadikan situasi ini sebagai motivasi untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka.

Pemain tempatan khususnya, harus melihat peluang ini untuk bersinar tanpa terlalu bergantung pada pemain naturalisasi. Sikap “all out” dan semangat juang tinggi harus diterapkan untuk mencipta kenangan manis di bawah kendalian terakhir Pau Marti.

Bagi penyokong, peranan kita tidak kurang pentingnya. Kehadiran dan sokongan padu di stadium menjadi suntikan semangat luar biasa buat pasukan. Harimau Malaya memerlukan kita untuk terus berdiri teguh bersama mereka, terutama ketika menghadapi cabaran besar ini.

Ayuh, gegarkan Phnom Penh dengan sorakan kita untuk aksi pertama! Jadikan kejohanan ini medan untuk Harimau Malaya membuktikan kehebatan sebenar di pentas Asia Tenggara.

Malaysia Boleh!