SKUAD Bawah-17 (B-17) kebangsaan berjaya mengatasi Chinese Taipei 2- 1 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium UITM Shah Alam.

Aksi separuh masa pertama nyata memihak anak buah Osmera Omaro apabila bermain secara high pressing sejak wisel babak pertama dibunyikan.

Bagaimanapun, Chinese Taipei terlebih dahulu membuka jaringan setelah counter attack pantas jelas memerangkap pertahanan skuad Malaysia B-17 dengan jaringan cantik pelawat menerusi Lars Richard Larsen pada minit ke-24.

Tersentak dengan jaringan tersebut, kem kebangsaan kembali memperkemas serangan dan hasilnya Muhammad Danish Iskandar Marzizul berjaya membuat placing cantik sekaligus mengikat kedudukan pada minit ke-42 dengan jaringan 1-1.

Sekembalinya dari bilik persalinan, Malaysia B-17 terus menggandakan serangan ke kubu lawan dan memiliki peluang terbaik menerusi pemain tengah Muhammad Danish Iskandar Marzizul dan penyerang, Muhamad Dainei Mat Disa namun kedua-dua percubaan terkena palang sekaligus menghampakan skuad muda negara.

Penguasaan bola jelas menjadi milik anak buah Osmera dengan formasi 4-3-3 dilihat menjadi apabila kerap melakukan ‘build up play’ yang sangat berbahaya.

Penalti Muhammad Afiq Danish pada minit ke-90 berjaya menggembirakan penyokong yang hadir sekaligus menang tipis 2-1.