KAPTEN Penang FC, Stefano Brundo berharap pasukan dapat merealisasikan impian kelab untuk menjulang kejuaraan MFL Challenge Cup selepas kemarau trofi 24 tahun.
Meskipun dia pernah beraksi di pentas final sebelum ini ketika bersama Sri Pahang FC untuk aksi Piala Malaysia, namun perasaan yang berbeza pasti akan dirasai sekiranya dapat menjadi sebahagian daripada sejarah untuk membantu Penang meraih trofi selepas sekian lama sejak 2002.
Bagi pemain dari Argentina ini, dia dan rakan sepasukan mengambil iktibar kelemahan ketika aksi final pertama tempoh hari yang menyaksikan mereka seri 1-1 dengan Sabah FC dan menjangkakan perlawanan lebih sukar pada Ahad ini di Stadium Likas.
Dan secara peribadi, Brundo menyifatkan semua pemain semakin menunjukkan peningkatan di setiap posisi dan kali ini ingin menggunakan setiap ruang agar mereka dapat menjaringkan lebih banyak gol di tempat lawan.
“Kita tahu Sabah adalah pasukan yang penuh kejutan dan sekarang pun di tahap terbaik dengan dibarisi pemain berpengalaman.
“Jadi saya boleh bayangkan macam mana suasana di Likas nanti dengan penyokong yang akan hadir dan kami juga bersedia untuk memberikan segalanya.
“Penang FC dah tunggu lama untuk momen seperti ini dan kita tidak mahu sia-siakan peluang di depan mata, jadi ia sangat penting untuk kita tetap fokus sehingga ke wisel penamat.
“Secara peribadi, final sentiasa beri kenangan kepada saya sepertimana ketika aksi final Piala Malaysia musim lalu, jadi kali ini saya harap trofi itu akan menjadi milik kami di Penang FC”, katanya.
Untuk rekod, Skuad Harimau Kumbang sebelum ini pernah bergelar juara Piala FA pada tahun 2002 selepas menewaskan Perak FA.
Aksi final kedua MFL Challenge Cup ini akan berlangsung pada Ahad (19 April) di Stadium Likas bermula jam 8.15 malam.