PENING dan masih jet lag selepas kembali dari Kuwait, Gillian Lim masih mampu membantu Sarawak muncul juara double’s wanita, Kejohanan Bowling Antara Negeri 2023 yang sedang berlangsung di Sunway Piramid, di sini.
Gillian yang masih segar dengan kemenangan pingat perak berpasukan wanita di Kejohanan Dunia yang berlangsung di Kuwait minggu lalu, mengakui sukar untuk menyesuaikan diri dengan pertukaran masa ditambah faktor minyak di Sunway Bowl.
“Balik dari Kuwait dengan menyertai kejohanan berturut-turut sudah biasa, cuma perbezaan masa membuatkan saya masih jet lag, ditambah pula dengan pattern minyak berbeza sepanjang dua hari saya bermain di sini.

Pasangan Gillian Lim, Nerosha Keligit Thiagarajan meraih kemenangan bergaya buat Sarawak.
“Agak sukar buat saya tetapi jurulatih membantu, memandu saya daripada permainan pertama hingga ke terakhir, memandu saya untuk menukar bola dan membuat penyesuaian lorong,” kata Gillian.
Dia bersama rakan pasangan, Nerosha Keligit Thiagarajan, menghadiahkan Sarawak kejuaraan acara double’s wanita dengan jatuhan pin keseluruhan 2,440 dariapda enam permainan.
Balingan konsisten Gillian yang melakukan 236 jatuhan pin pada permainan pertama, diikuti 225, 193, 234, 207 dan 188 membolehkan atlet berusia 24 tahun itu mengumpul 1,283 jatuhan keseluruhan, melengkapi pencapaian Nerosha yang melakukan 1,157 jatuhan membabitkan enam permainan.

Gillian Lim masih segar dengan kemenangan pingat perak di Kejohanan Bowling Dunia di Kuwait minggu lalu.
Gandingan terbabit menewaskan pasangan Negeri Sembilan, R Nassmitha-Puteri Nurul Dini Mohd Faudzi di kedudukan kedua (2,367 jatuhan) dan pasangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Nur Syazwani Sahar-Nora Lyana Nastasia Norakmal (2,350 jatuhan).
Cabaran Gillian belum berakhir di kejohanan ini kerana dia juga akan memperkuat pasukan wanita Sarawak pada saingan terakhir esok.
“Saya enggan terlalu yakin kerana sukar bermain di dua permukaan lorong berbeza.
“Esok (Khamis) kami akan bermain dalam dua blok iaitu pada pada permukaan medium dan long oil.
“Bagaimanapun, selalunya kekuatan bowling Sarawak adalah pada acara berpasukan, kita tunggu dan lihat.”