SETELAH 37 hari menarik diri pencalonan jawatan Naib Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL), nama Reginald Allan Netto masih diseret membuatkan tuan badan pening kepala.
Menurut Allan, drama perebutan jawatan tertinggi PHKL yang kini disandang presidennya, I.Vikneswaran, dirinya kini terdedah kepada pelbagai risiko, apabila ada pihak yang mendedah dan menyebar maklumat peribadi yang terdapat dalam surat penarikan diri calon naib presiden ke media sosial.
“Jangan burukkan nama saya untuk ‘membunuh’ orang lain! Itu sahaja,” kata Allan, dalam sidang media di Petaling Jaya pada Jumaat.
Menurutnya, tindakan pihak yang menyandang jawatan tertinggi PHKL ketika ini, menggunakan namanya yang telah dipersetujui untuk digugurkan daripada senarai pencalonan tidak seharusnya berlaku.
“Tindakannya (penyandang presiden PHKL) kebudak-budakan, tak boleh buat begitu, buat cara lain (guna nama saya).
“Pada 19 Disember nama saya dicalonkan sebagai naib presiden, keesokannya (20 Disember) saya menarik diri dan sepatutnya nama saya tidak lagi berada dalam cerita ini.
“Tapi selepas 37 hari daripada tarikh penarikan diri yang saya buat pada 20 Disember, nama saya timbul semula dan lebih teruk, dia siarkan surat saya, dia cetak kemudian siarkannya ke serata media sosial dengan terpapar nama penuh, nombor kad pengenalan semua.
“Saya sudah membuat laporan polis kerana ini maklumat peribadi saya dan tidak boleh didedahkan kepada umum begitu sahaja,” ujar Allan, berang dengan penyandang presiden PHKL yang didakwanya cuba menggunakan pelbagai cara untuk “memenangkan” dirinya dan menafikan hak pihak lain untuk bertanding pada pemilihan jawatankuasa tertinggi persatuan hoki itu.
Justeru, dia bertegas akan meneruskan laporan polis yang dibuat kepada urusan mahkamah dan menyerahkannya kepada peguam.
Menurutnya, isu yang dimainkan Vikneswaran adalah tandatangan pencalonan dirinya sebagai naib presiden PHKL yang didakwa palsu.
“Jika tandatangan saya tidak betul, kenapa saya di sini hari ini. Malah jika tandatangan itu tidak berada di bawah pengetahuan saya, sepatutnya saya yang buat laporan bukan dia.
“Dalam hoki, saya kenal ramai orang, begitu juga sebaliknya… saya juga berada dalam bidang perniagaan sama, saya tidak mahu musuh.
“Penarikan diri saya sebagai calon, dia sendiri yang terima, PHKL terima penarikan diri saya tetapi mereka menggunakan pula nama saya.”