KONTINJEN Malaysia memulakan cabaran pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan misi membawa pulang lima pingat emas meskipun temasya kali ini berlangsung dalam skala lebih kecil berbanding edisi sebelum ini.

Seramai 59 atlet negara akan menggalas cabaran di Glasgow dalam lapan jenis sukan, dengan sasaran keseluruhan lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa selepas mengambil kira kekuatan serta potensi atlet yang dipilih mewakili negara.

Edisi kali ini menyaksikan hanya 10 jenis sukan dipertandingkan berbanding lebih 20 pada Birmingham 2022. Keadaan itu turut menyaksikan beberapa acara yang sebelum ini menjadi penyumbang utama pingat emas Malaysia seperti badminton dan gimnastik berirama tidak dipertandingkan.

Walaupun berdepan cabaran tersebut, kontinjen negara masih menyandarkan harapan kepada atlet dalam acara angkat berat, berbasikal trek, boling padang, judo, gimnastik artistik, renang, para powerlifting dan para olahraga untuk merealisasikan sasaran yang ditetapkan.

Kontinjen Malaysia turut diketuai jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly, yang diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang sebagai pembawa bendera pada upacara pembukaan Sukan Komanwel 2026 di The Hydro, Glasgow.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos dengan semua pertandingan diadakan di empat venue utama selepas bandar raya itu mengambil alih tugas sebagai tuan rumah susulan penarikan diri Victoria, Australia.

Berbanding edisi Birmingham 2022, jumlah atlet Malaysia yang bertanding kali ini turut berkurangan kepada 59 orang berbanding 104 sebelum ini, selaras dengan pengurangan jumlah acara yang dipertandingkan.

Meskipun hadir dengan kontinjen yang lebih kecil, Malaysia tetap optimis mampu memberi saingan menerusi gabungan atlet berpengalaman dan muka baharu yang membawa misi mengharumkan nama negara di pentas Komanwel.

Tumpuan kini terarah kepada kemampuan atlet negara merealisasikan sasaran lima pingat emas sekali gus memastikan Jalur Gemilang terus berkibar megah sepanjang temasya berlangsung di Glasgow.