Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah muncul satu-satunya wakil Malaysia yang masih meneruskan cabaran pada Terbuka China 2026 selepas mara ke suku akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, hari ini.

Pasangan ranking kelima dunia itu tidak berdepan masalah untuk menempah tempat ke kelompok lapan terbaik apabila menewaskan gandingan Ukraine, Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr, 21-19, 21-12 dalam tempoh hanya 30 minit.

Bagaimanapun, laluan Pearly-Thinaah dijangka lebih mencabar pada aksi suku akhir apabila bakal membuat perhitungan dengan pasangan ketiga dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto bagi memburu tiket ke separuh akhir.

Sementara itu, kem negara menerima tamparan apabila kesemua wakil lain yang beraksi pada pusingan kedua gagal meneruskan saingan dalam acara masing-masing.

Beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tersingkir selepas tewas 19-21, 21-12, 19-21 kepada pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard dalam pertarungan sengit tiga set.

Turut mengakhiri cabaran ialah pasangan baharu Man Wei Chong-Soh Wooi Yik yang kecundang 16-21, 17-21 kepada gandingan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi, sekali gus mengalami penyingkiran awal buat kali kedua berturut-turut selepas Terbuka Jepun minggu lalu.

Dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao gagal mempertahankan kelebihan selepas memenangi set pertama sebelum tunduk 22-20, 11-21, 18-21 kepada pemain tuan rumah, Weng Hong Yang.

Nasib sama turut menimpa dua beregu campuran negara apabila Chen Tang Jie-Clarissa San tewas 21-11, 14-21, 19-21 kepada pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, manakala Goh Soon Huat-Shevon Lai akur 21-23, 15-21 di tangan Guo Xin Wa-Chen Fang Hui.

Keputusan itu menyaksikan harapan Malaysia di Terbuka China kini digalas sepenuhnya oleh Pearly-Thinaah yang akan turun beraksi pada saingan suku akhir dalam usaha meneruskan kemaraan ke empat terbaik.