Kredit Gambar: Majlis Olimpik Malaysia
PRESIDEN Sukan Komanwel Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengingatkan semua atlet negara supaya turun beraksi dengan penuh keyakinan apabila memulakan cabaran pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Dalam amanat yang disampaikan kepada atlet dan pegawai kontinjen di Village Hotel Glasgow beberapa jam sebelum upacara pembukaan rasmi temasya, beliau menegaskan setiap wakil negara memikul harapan jutaan rakyat Malaysia.
“Jangan sesekali meragui kemampuan diri atau sebab anda berada di sini mewakili Malaysia. Anda membawa harapan dan aspirasi 34 juta rakyat Malaysia di tanah air.
“Beraksi dengan keberanian dan berjuang dengan penuh maruah,” katanya.
Norza turut menggesa atlet agar tidak gentar berdepan mana-mana lawan kerana mereka telah membuktikan kelayakan untuk berada di pentas Sukan Komanwel.
“Jangan takut kepada pihak lawan apabila melangkah ke gelanggang. Ingat, setiap daripada anda layak berada di sini kerana anda adalah antara wira negara,” katanya.
Majlis amanat itu turut menandakan bermulanya kempen rasmi kontinjen Malaysia pada edisi ke-23 Sukan Komanwel dan dihadiri Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Awalan Abdul Aziz.
Beliau pada masa sama memuji kepimpinan Awalan yang disifatkan berjaya menyatukan kontinjen serta memastikan semangat atlet kekal berada pada tahap terbaik menjelang saingan.
Malaysia mempertaruhkan 59 atlet pada temasya kali ini dengan sasaran membawa pulang lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa, sekali gus berusaha memberikan saingan terbaik di Glasgow.
Pada edisi Birmingham 2022, Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-10 keseluruhan selepas mengumpul tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa, menjadikan kontinjen negara tekad meneruskan kecemerlangan di bumi Scotland.