PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengumumkan ‘Glorious’ karya Weird Genius, dinyanyikan oleh tiga penyanyi Indonesia iaitu Lyodra, Tiara Andini, dan Ziva Magnolya (LTZ) sebagai lagu rasmi Piala Dunia B-17 2023.

Perkara ini dimaklumkan pihak Fifa di laman web rasminya pada Selasa. Glorious adalah lagu yang pada asalnya lagu rasmi kejohanan Piala Dunia B-20 2023 sebelum Indonesia dilucut hak penganjuran.

Lagu itu akhirnya dipilih untuk menjadi lagu rasmi Piala Dunia B-17 2023 dengan susunan baharu dan akan dilancarkan oleh Fifa pada 3 November.

“Lagu ini (Glorious) memegang tajuk berprestij sebagai lagu Fifa Sound yang paling banyak dimainkan tahun ini,” tulis Fifa.

Fifa berkata lagu ‘Glorious’ yang dikeluarkan lima bulan lalu telah ditonton lebih 1.4 juta kali di saluran YouTube dan 3.5 juta kali dimainkan di aplikasi Spotify.

Sementara itu, Weird Genius gembira apabila ditanya mengenai pemilihan oleh Fifa kerana menurutnya, ia mencerminkan tenaga dinamik bakat muda di seluruh dunia.

“Ini satu penghormatan yang luar biasa buat kami, dan kami tidak sabar menunggu kejohanan ini menawan hati Indonesia dalam beberapa minggu akan datang.

“Kami berharap ini akan menjana jangkaan dan semangat yang sama daripada peminat di seluruh negara ketika mereka menonton legenda masa depan ini beraksi,” kata Weird Genius.

Piala Dunia B-17 2023 akan berlangsung di empat bandar iaitu Jakarta, Bandung, Solo dan Surabaya. Pembukaan acara ini akan berlangsung di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya pada 10 November ini.