SKUAD hoki remaja Malaysia gagal mendahului Pakistan untuk perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor dengan keputusan 3-2 di Stadium Hoki Taman Daya, Johor.
Bermula sahaja minit perlawanan, kawalan bola tampak lebih menyebelahi kepada pasukan Pakistan dan akhirnya pada minit ke-13, gawang gol Malaysia telah berjaya dibolosi oleh Abuzar daripada skuad Pakistan.
Situasi kurang senang oleh skuad Young Tigers terus ditambah dengan jaringan kedua daripada Pakistan menerusi penalti ‘corner’ oleh Ahmad Arbaz pada minit ke-21.
Bahang perlawanan yang turut dirasai oleh penonton-penonton di stadium malam ini seiring dengan tekanan yang dihadapi oleh anak buah Muhamad Amin Rahim kerana sudah ketinggalan 2-0 pada suku kedua perlawanan.
Usaha Malaysia untuk cuba memecahkan tembok pertahanan Pakistan sekali lagi tidak berjaya sejurus memberikan peluang buat Pakistan, menerusi Muhammad Khan untuk menjaringkan gol ketiganya selang tiga minit selepas gol kedua dibuat.
Tempoh rehat 10 minit selepas suku kedua perlawanan akhirnya bermula dengan keputusan ketika itu berpihak buat pasukan Pakistan dengan mata 3-0.
Sambungan suku ketiga bermula dan skuad Young Tigers mula mempamerkan kegarangannya terhadap Pakistan apabila memberi ancaman bertubi-tubi terhadap penjaga gol gawang pasukan lawan tersebut.
Penantian buat skuad Amin Rahim untuk memberi jaringan pertama kepada Malaysia akhirnya berjaya selepas penalti ‘corner’ menerusi Shahmie Irfan Suhaimi pada minit ke-47 membocori gawang Pakistan.
Keyakinan yang kembali terpahat di dada pemain-pemain skuad remaja ditambah lagi apabila gol padang yang terhasil oleh Shafiq Ikhmal Daniel berjaya memberikan jaringan kedua buat Malaysia.
Namun, wisel penamat telah ditiupkan dan keputusan penuh 60 minit telah menyebelahi pasukan Pakistan dengan mata 3-2 sejurus mematahkan harapan skuad remaja kebangsaan untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2023.