JAGUH pecut acara keirin kebangsaan, Datuk Azizulhasni Awang yakin pasukan kebangsaan mampu meraih sasaran enam pingat emas sebelum ini.

Beliau juga turut melaungkan suntikan semangat kepada seluruh atlet yang bakal beraksi di pentas kedua tertinggi dunia itu.

Dalam pada itu, Azizul turut berkongsi lima tips untuk berjaya dalam Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi menyemarakkan semangat atlet berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Hantaran tersebut dikongsi raja keirin kebangsaan itu di laman Facebook miliknya pada Jumaat.

“Sukan Komanwel Birmingham 2022 sudah bermula secara rasminya selepas upacara pembukaan semalam. Saya percaya 104 atlet, 44 pegawai serta 13 kakitangan dari Kontinjen Malaysia yang tampak segak dan bergaya sudah bersedia untuk berjuang membawa balik sekurang-kurangnya enam pingat emas,

“5 tips untuk mereka berjaya di Temasya Komanwel Birmingham 2022 iaitu gabung kekuatan fizikal, tunjukkan semangat kesukanan yang tinggi, berjuang ke titisan darah terakhir, taktik dan strategi yang tepat, mentaliti juara,” kongsinya di media sosial.

Untuk rekod, beliau pernah merangkul emas dalam beberapa kejohanan besar termasuk Kejohanan Dunia 2017 di Hong Kong.

Bagaimanapun kehilangan ‘The Pocketrocketman’ negara secara tiba-tiba sejak awal Februari lalu akhirnya terjawab apabila sebenarnya bergelut dengan rawatan penyakit jantung sebelum melakukan pembedahan 21 April lalu dan kini dalam proses pemulihan.