KETUA jurulatih Indonesia B-23, Gerald Vanenburg menyifatkan skuad Malaysia B-23 sebagai antara pasukan yang sentiasa mencuri tumpuan dalam kejohanan serantau, namun tetap mengingatkan barisan mudanya agar tidak memandang rendah cabaran Brunei dan Filipina dalam Kumpulan A Piala ASEAN Mandiri B-23 2025.

Dalam sidang media pra-kejohanan, Vanenburg mengakui semua pasukan pasti turun dengan harapan tinggi, namun menegaskan anak buahnya telah bersedia sepenuhnya selepas tempoh latihan yang panjang.

“Kita ada kumpulan bersama Malaysia, pasukan yang semua orang di Indonesia beri perhatian. Tapi Filipina dan Brunei juga dua pasukan yang kami perlu berwaspada. Kami mahu menang perlawanan-perlawanan itu dan tunjukkan sesuatu yang istimewa dalam kejohanan ini,” katanya.

Bekas bintang Belanda itu turut meluahkan rasa lega kerana akhirnya kejohanan bermula selepas persiapan rapi sejak sekian lama. Skuad Garuda Muda bakal turun menentang Brunei B-23 dalam aksi pertama kumpulan pada jam 8 malam ini, sebelum bertemu Filipina dan Malaysia.