LEGENDA Liverpool, Steve Nicol berkata Manchester United akan tetap tewas meskipun di bawah kendalian jurulatih yang hebat seperti Pep Guardiola.

Menurutnya, pengendali Red Devils, Erik ten Hag tidak seharusnya dipersalahkan kerana kekalahan pasukan tersebut adalah berpunca daripada kualiti pemain-pemain yang menyarung jersi United tidak begitu baik.

“Pasukan Manchester United telah menggambarkan tidak kira sehebat mana jurulatih anda tetapi jika pemain tidak boleh memberi apa yang dimahukan kelab, ia tetap tidak berlaku.

Ten Hag (kanan) berkata sesuatu kepada pemain-pemainnya ketika aksi bertemu Brighton. Foto: Getty Images

“Anda boleh bercakap sehingga muka anda biru dan berada di padang latihan dari jam 9 pagi sehingga 9 malam tetapi jika pemain tidak cukup bagus, tidak boleh memberi, langkah terbaik adalah mengeluarkan pemain tersebut dan mengambil pemain yang boleh melakukannya.

“Sesiapa yang pilih membawa pemain ke United, sebenarnya mereka tidak mengetahui apa-apa.

“Anda boleh membawa Erik ten Hag ke Manchester City dan Pep Guardiola ke Manchester United, dan United tetap akan tewas, ” ujarnya.

Mimpi ngeri United berterusan dari tahun ke tahun setelah menamatkan liga dengan pencapaian paling buruk dalam sejarah di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer dan Ralf Rangnick.

Selepas Sir Alex Ferguson meninggalkan United, kelab tersebut hanya berjaya merangkul empat trofi berbanding 38 kejuaraan bersama pengendali dari Scotland itu.