KELAB Manchester City kini giat merancang strategi untuk memastikan penyerang sensasi mereka, Erling Haaland, terus kekal di Etihad selepas pengurus Pep Guardiola menyatakan persetujuan secara prinsip untuk melanjutkan kontraknya selama setahun lagi.

Langkah ini dilihat sebagai usaha besar City untuk mengekalkan kestabilan pasukan, dengan Haaland bakal ditawarkan pakej bernilai £100 juta.

Haaland, yang telah menjaringkan 105 gol sejak menyertai City pada 2022, masih mempunyai baki kontrak selama dua setengah tahun dengan pendapatan semasa mencecah £375,000 seminggu sebelum bonus.

Jika Haaland bersetuju untuk melanjutkan kontrak, pemain berusia 24 tahun itu berpotensi memperoleh lebih daripada £100 juta sepanjang empat hingga lima tahun akan datang, tidak termasuk bonus tambahan.

Haaland adalah sasaran seterusnya Cityzens selepas bersetuju menyambung kontrak dengan pengurus Pep Guardiola

Guardiola, yang bersetuju untuk kekal sehingga musim panas 2025 dengan pilihan lanjutan sehingga 2027, menjadi faktor penting dalam usaha City memujuk Haaland. Ketika bersama skuad Norway minggu lalu, Haaland turut menyatakan sokongan terhadap Guardiola.

“Saya harap Pep menandatangani kontrak baharu. Dia sangat penting untuk saya dalam dua setengah tahun pertama di sini. Saya harap dia kekal lebih lama kerana saya suka bekerja dengannya,” ujar Haaland.

Bagaimanapun, City turut menghadapi dilema besar berhubung masa depan Kevin De Bruyne, yang kontraknya akan tamat musim panas ini. Pemain tengah Belgium itu, kini berusia 33 tahun, terpaksa bergelut dengan kecederaan dalam beberapa musim kebelakangan.

Dia berkemungkinan besar perlu menerima peranan dan gaji yang dikurangkan jika ingin terus kekal selepas sedekad bersama City.

Dalam masa yang sama, Ballon d’Or, Rodri dijangka menjadi pemain seterusnya yang akan ditawarkan kontrak baharu.

Namun, masa depan City tidak hanya bergantung kepada keputusan pemain. Kelab ini sedang menghadapi 115 pertuduhan melibatkan pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana.

Man City juga sedang menentukan masa depan duo superstar Kevin De Bruyne dan Rodri

Jika didapati bersalah, City berkemungkinan besar dikenakan pemotongan mata yang signifikan, malah boleh kehilangan status sebagai kelab Liga Perdana.

Walau apa pun keputusan perbicaraan tersebut, Guardiola menyatakan kesediaan untuk terus memimpin City walaupun perlu memulakan semula perjalanan mereka di liga bawahan. Beliau malah berseloroh akan menghidupkan semula legenda kelab seperti Paul Dickov dan Mike Summerbee untuk beraksi jika perlu.

Kontrak Guardiola yang dianggarkan bernilai £20 juta semusim turut menarik perhatian FA. Pada musim panas lalu, FA pernah mendekati beliau untuk menggantikan Gareth Southgate, tetapi Guardiola menolak dengan alasan tidak mahu memungkiri komitmennya bersama City.

Dengan adanya klausa rehat pada musim panas 2026, spekulasi tentang masa depannya terus menjadi perhatian dunia bola sepak.