BEREGU campuran muda negara, Loh Ziheng-Nuraqilah Maisarah Ramdan mencipta sejarah manis apabila menjuarai Kejohanan Badminton Siri Antarabangsa (IS) Vietnam di Bac Giang, sekali gus meraih gelaran senior pertama mereka.

Pasangan pilihan kedua itu tampil bertenaga di final apabila menundukkan gandingan Thailand, Surasit Ariyabaraneekul-Atitaya Povanon 21-13, 14-21, 21-16 dalam aksi sengit berdurasi 45 minit di Gimnasium Bac Giang.

Walaupun terpaksa berhempas pulas hingga ke set penentuan, Ziheng-Nuraqilah masing-masing berusia 18 tahun, membuktikan ketahanan mental tinggi dengan menutup perlawanan penuh bergaya untuk membawa pulang hadiah AS$450 (RM1,888).

Jurulatih beregu campuran negara, Hazwan Jamaluddin menyifatkan kejayaan itu hasil disiplin dan semangat juang luar biasa yang ditunjukkan anak buahnya sepanjang kejohanan berlangsung.

“Bagi saya, mereka bermain sangat baik sejak pusingan pertama hingga final, cuma ada ketika hilang fokus dan kurang sabar ketika mahu mematikan bola,” katanya ketika dihubungi.

Hazwan turut mengakui walaupun persembahan mereka konsisten, masih ada ruang untuk diperbaiki terutama dari aspek ketenangan dan penyudah di saat genting.

Lebih bermakna, kemenangan itu menjadi penanda aras penting buat gandingan muda yang baru disatukan pada Disember tahun lalu untuk terus menapak ke pentas lebih tinggi.

Hazwan berkata, Nuraqilah perlu lebih konsisten di depan jaring bagi membantu Ziheng, manakala Ziheng pula perlu menambah kekuatan pukulan bagi menjadikan mereka pasangan lebih mantap di masa depan.