KEMELUT membabitkan pasangan beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian akhirnya menemui titik noktah apabila Haikal tampil menulis surat akujanji untuk kembali fokus kepada latihan dan arahan jurulatih.

Tindakan itu hadir susulan episod penarikan diri mereka dari Terbuka Switzerland yang mencetuskan persoalan mengenai komitmen Haikal terhadap pasukan.

Haikal sebelum ini mendakwa masih dibelenggu kecederaan pergelangan kaki, namun jurulatihnya, Herry Iman Pierngadi tidak melihat situasi itu sebagai faktor utama ketiadaannya.

Menurut Herry, pemain muda itu sudah tampil bertemu secara bersemuka untuk memohon maaf dan mengakui kesilapan yang berlaku.

“Sudah, semalam dia datang jumpa saya mahu minta maaf dan saya kata yang sudah itu biarlah berlalu, kita bina yang baru,” katanya, ditemui di Akademi Badminton Malaysia(ABM).

Herry yang dikenali dengan pendekatan tegas tetapi berjiwa besar menegaskan beliau tidak menyimpan dendam dan bersedia memberi peluang kedua kepada pemain itu.

Namun sebagai syarat, beliau mahu Haikal membuktikan kesungguhan dengan menulis surat akujanji sebagai simbol komitmen terhadap latihan dan disiplin.

“Janji itu tak boleh di mulut saja, mesti tulis surat supaya dia ingat dan kalau ulang lagi, saya boleh tunjuk balik,” katanya sambil mengingatkan Haikal supaya lebih matang dalam mengurus kariernya.