SKUAD boling padang negara meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mempertahankan lima pingat emas pada Kejohanan Boling Padang Asia 2026 yang dijadual berlangsung di New Delhi, India dari 5 hingga 12 April ini.
Ketua jurulatih negara, Fairul Izwan Abd Muin menegaskan fokus utama pasukan adalah untuk mengekalkan pencapaian cemerlang seperti edisi lalu, sekali gus memastikan Malaysia terus kekal sebagai kuasa besar boling padang Asia.
Menurutnya, barisan pemain perlu menampilkan tahap konsistensi tinggi serta disiplin permainan yang mantap bagi menghadapi cabaran sengit daripada negara lain.
“Sasaran utama kita adalah sekurang-kurangnya mempertahankan lima pingat emas dalam kategori terbuka seperti yang dicapai sebelum ini.
“Kita mahu pemain mengekalkan konsistensi dan fokus sepanjang kejohanan bagi memastikan prestasi terbaik dapat dipamerkan,” katanya.
Pada edisi terdahulu, Malaysia mencipta pencapaian membanggakan apabila meraih lima pingat emas menerusi acara perseorangan wanita, pasangan wanita, pasangan lelaki, triple lelaki dan fours lelaki.
Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai antara pasukan paling dominan dalam sukan boling padang di peringkat Asia.
Fairul bagaimanapun tidak menolak kemungkinan skuad negara mampu menambah kutipan pingat sekiranya pemain berjaya memanfaatkan peluang sepanjang kejohanan berlangsung.
Menurutnya, persiapan pasukan kini berada di fasa akhir dengan tumpuan diberikan kepada aspek ketepatan balingan, strategi permainan serta kekuatan mental pemain.
Tambah beliau, cabaran dijangka hadir daripada negara tuan rumah India selain Thailand dan Hong Kong yang turut memiliki reputasi kuat dalam sukan tersebut.
Dengan persiapan rapi serta rekod cemerlang sebagai sandaran, skuad boling padang negara membawa misi besar untuk terus mendominasi Asia dan muncul antara pasukan terbaik pada Kejohanan Boling Padang Asia 2026 di New Delhi.
SUMBER : ASTRO ARENA