PELARI pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi gagal mara ke final acara 200 meter Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia.

Ia selepas menduduki tempat keempat dalam aksi saringan dua dengan catata 20.97 saat, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, pelari asal Perak berusia 18 tahun itu merakam larian yang membanggakan dalam 200m apabila memperbaiki catatan masa peribadi terbaik pada peringkat saringan dengan catatan 20.83s.

Catatan direkodkan Azeem itu adalah masa kedua terpantas dalam 200m Malaysia, di belakang rekod kebangsaan 20.77s milik Russel Alexander Nasir Taib yang diukir pada tahun 2019.

“Tertangguh selama dua jam dan berlari dalam keadaan teruk tetapi Alhamdulillah saya berjaya sehingga ke garisan penamat.

“Tiada apa yang perlu dimalukan malah sangat bangga dengan diri saya sejauh ini.

“Terima kasih semua yang terus menyokong saya untuk hari ini,” kongsinya di Twitter pada Khamis.

Terdahulu, Azeem mencipta sensasi apabila berjaya memecah rekod 100m kebangsaan dengan masa 10.09s.