KETIADAAN nama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari kalendar di laman sesawang Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) menimbulkan tanda tanya, apakah kejohanan jelajah itu telah dipadam badan induk dunia itu?
Ironinya, meskipun LTdL2023 tiada lagi dalam kalendar UCI, Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill tetap menyuarakan keyakinan bahawa perlumbaan itu akan tetap berlangsung tahun ini.
Amarjit berkata, beliau akan ke Glasgow, Scotland, dalam tempoh dua hari lagi bagi menghadiri mesyuarat bersama UCI dan pertemuan itu akan digunakan sebaiknya untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai ketiadaan LTdL 2023 dalam kalendar.
“Kita ada mesyuarat pengurusan majlis di sana (Glasgow). Saya akan pergi ke sana termasuk untuk Kejohanan Dunia juga. Saya akan cek mengenainya (sebab LTdL tiada dalam kalendar UCI) di sana,” kata Amarjit ketika dihubungi.

LTdL tidak berada dalam kalendar UCI.
Sebelum ini, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab pernah menyatakan kebimbangan mengenai LTdL yang berkemungkinan tidak akan dapat dianjurkan lagi pada tahun depan.
Ini berikutan isu bayaran tertunggak oleh pihak penganjur sebelum ini, yang didakwa belum diselesaikan dan ternyata apa yang dibimbangkan itu, hadir lebih awal daripada jangkaan Abu Samah.
Abu Samah ketika majlis pelancaran LTdL 2023 pada 4 Julai lalu mendedahkan menerima surat daripada UCI berhubung tunggakan bayaran penganjur sebelum ini kepada lima pasukan bertanding yang melebihi RM1 juta.

Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill akan ke Glasgow hadiri mesyuarat UCI, dan akan mendapatkan penjelasan mengenai ketiadaan LTdL dalam kalendar badan induk berbasikal dunia itu.
Jumlah itu bagaimanapun tidak membabitkan hadiah kemenangan oleh pihak penganjur sebelum ini, sebaliknya berkaitan bayaran lain seperti penampilan dan tiket penerbangan.
Untuk rekod, Human Voyage (M) Sdn Bhd menganjurkan LTdL 2022 dan saingan perlumbaan jelajah berbasikal terulung negara itu bermula 2019.
“Apa yang saya tahu, seperti Datuk Abu Samah beritahu (sebelum ini), UCI ada tulis beberapa hutang yang perlu dibayar dan kalau tidak, ia akan meninggalkan impak untuk pendaftaran 2024. Apapun, kita tunggu dan lihat.
“Saya pasti perlumbaan akan berlangsung. Ada dalam kalendar atau tidak dalam kalendar, perlumbaan akan tetap diteruskan untuk tahun 2023. Itu pasti. Namun mengenai kenapa tak ada dalam kalendar atau apa, itu saya perlu cek.
“Saya tak tahu sebabnya tapi biar saya bertemu empat mata untuk dapatkan gambaran jelas mengenainya di sana nanti,” kata Amarjit.
LTdL 2023 dijadual berlangsung dari 23 hingga 30 September ini dengan membabitkan lapan peringkat perlumbaan yang merentasi 11 negeri di semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan kayuhan sejauh 1,280 kilometer (km).