Perlumbaan Grand Prix Qatar yang dijadual berlangsung pada 12 April ditunda ke 8 November susulan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat, menurut penganjur MotoGP hari ini.

Perubahan jadual itu dibuat selepas dua perlumbaan Formula Satu di rantau Teluk dibatalkan sebelum ini.

Menurut kenyataan MotoGP, keputusan itu dibuat bersama Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM ), pihak penganjur serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan semua pihak.

“Keputusan ini dibuat dengan objektif utama untuk memastikan keselamatan, kesejahteraan dan penganjuran terbaik bagi semua peserta serta penonton,” menurut kenyataan berkenaan.

Perubahan jadual itu juga menyebabkan musim kejuaraan 2026 berakhir sedikit lewat daripada perancangan asal.

Perlumbaan di Litar Antarabangsa Lusail yang asalnya perlumbaan keempat musim ini kini menjadi pusingan ke-20 dan kedua terakhir dalam kalendar 2026.

Susulan perubahan itu, Portuguese Grand Prix yang dijadual berlangsung pada 15 November ditunda ke 22 November, manakala perlumbaan penutup musim di Valencia Grand Prix kini dijadual berlangsung pada 29 November, seminggu lebih lewat daripada jadual asal.