Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mempersoalkan mengapa tiada pihak yang mendakwa diri sebagai ‘pakar’ tampil membincangkan krisis sebenar yang sekian lama membelenggu bola sepak Malaysia.

Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) menyuarakan pandangan itu menerusi satu komen di laman Instagram rasmi kelab, semalam, susulan perdebatan berterusan mengenai mutu pengadilan dan isu pemain warisan.

Menurut baginda, isu yang sering diketengahkan bukanlah punca utama kemerosotan bola sepak negara, sebaliknya banyak masalah asas yang lebih besar tidak dibincangkan secara terbuka.

“Presiden datang dan pergi, jurulatih datang dan pergi, pemain datang dan pergi, lawan datang dan pergi. Namun, konsistensi JDT tidak boleh dinafikan. Rekod dan pencapaian dalam dan luar padang. Ada yang kononnya pakar cakap bola sepak Malaysia dah mati pasal isu mutu pengadilan dan isu kes pemain warisan.

“Mengapa tiada seorang pun yang cakap berkenaan krisis sebenar seperti pucuk kepimpinan lama badan induk tak beri duit ‘tv rights’ kepada pasukan bertanding? Mengapa tiada seorang pun bangkitkan isu Malaysia tiada pertandingan kompetitif untuk pembangunan belia?

“Mengapa tiada yang mempersoalkan bertahun-tahun isu tak bayar gaji dan kegagalan mengurus kewangan. Kenapa tiada yang mempersoalkan masih guna rumput lembu, stadium masih buruk, lampu limpah masih kuning? Mengapa tiada yang mempersoalkan pasukan tiada pusat latihan dah berpuluh tahun?

“Mengapa tiada yang digelar pakar tidak mempersoalkan isu ini? Kerana kebanyakan isu-isu ini wujud dalam pasukan yang mereka sokong. Jadi apa cara yang paling mudah untuk rabunkan mata penyokong?

“Tuding jari kepada isu lain, orang lain, supaya boleh tutup kelemahan dan kegagalan diri sendiri, kegagalan sahabat-sahabat mereka dalam pengurusan, kegagalan pasukan sendiri yang dah wujud berpuluh tahun,” kata Tunku Mahkota Ismail.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai teguran terbuka terhadap landskap pengurusan bola sepak tempatan yang menurut baginda memerlukan perubahan menyeluruh, khususnya dari segi tadbir urus, pembangunan belia dan profesionalisme pengurusan kelab.

Pandangan itu turut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan mengenai hala tuju sebenar bola sepak Malaysia dan keutamaan yang perlu diberi perhatian.