PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin meluangkan masa untuk makan tengah hari dengan petugas-petugas media dari Malaysia yang berada di Doha, Qatar bagi liputan Piala Asia 2023 bermula semalam hingga 10 Februari 2024.

Antara petugas media yang hadir ialah dari Astro Arena, Bernama, Flash Sukan dan portal Harimau Malaya yang telah tiba di Qatar sejak beberapa hari yang lalu, sementara petugas media lain dari Harian Metro, Berita Harian, New Straits Times dan TV3 bakal menyusul dalam masa terdekat.

Petugas media dari Bernama.

Dalam majlis itu, Hamidin bagi pihak FAM mengucapkan setinggi terima kasih atas sokongan dan komitmen ditunjukkan rakan-rakan media dalam memberikan liputan terbaik di sepanjang skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon berada di Qatar.

Petugas media dari portal Harimau Malaya.

Malaysia akan memulakan kempen dengan bertemu Jordan pada 15 Januari (1.30 pagi 16 Januari waktu Malaysia) di Stadium Al Janoub diikuti Bahrain (20 Januari) di Stadium Jassim Bin Hamad dan bertemu juara dua kali Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan tempat ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 terbaik yang tidak pernah dicapai pasukan negara dalam tiga penampilan sebelum ini.

Ini merupakan kali keempat Malaysia beraksi di Piala Asia selepas layak secara merit pada edisi 1976 di Iran dan 1980 di Kuwait serta ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007.