LEGENDA bola sepak negara, Abdul Malek Abdul Rahman melihat prestasi skuad Harimau Malaya kini berada pada tahap yang lebih baik daripada sebelum ini untuk berdepan dengan kelab-kelab gergasi di Piala Asia Qatar nanti.
Malek yang dahulunya merupakan tonggak kebangsaan dari pasukan Selangor berkongsi pandangan bahawa Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim antara muka utama yang menjadi kunci kejayaan buat skuad kebangsaan.
Menurutnya, kedua-dua penyerang ini mempunyai kekuatan tersendiri terutama dari segi kelicikan dan kepantasan di atas padang sekali gus perkara itu dapat membuka peluang Malaysia untuk memberi keputusan yang baik di pentas Asia.
“Kita punya senjata sekarang dua orang, Arif Aiman dan Faisal Halim.
“Kalau dalam perlawanan nanti mereka ini yakin dan konsisten untuk tampilkan rentak permainan seiring dengan kemampuan mereka, sudah tentu ianya dapat membantu lagi pasukan Malaysia.
“Selain itu, adanya pemain naturalisasi yang berkualiti juga akan bantu menyumbang kepada kekuatan skuad Harimau Malaya.
“Apapun, kita kena ingat bahawa Malaysia yang kini layak ke peringkat akhir kelayakan Piala Asia ini sudah cukup baik. Ini salah satu pengalaman terbaik buat mereka.
“Sekarang kita diibaratkan seperti Thailand yang sedang ‘Top’ dalam Asia Tenggara pada satu ketika masa, jadi setidaknya skuad kebangsaan kita dapat memberi saingan dengan pasukan-pasukan yang mereka jumpa kelak,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.
Selain itu, sempat juga Malek memberi nasihat kepada skuad kebangsaan kita iaitu perlu fokus dalam tempoh 90 minit permainan dan jangan pernah lalai.
Kerana baginya, kelab-kelab yang bakal dihadapi seperti Bahrain, Jordan dan Korea Selatan itu sudah berada di kedudukan yang lebih tinggi dari Malaysia.
“Jangan lah kita terlalu meletakkan sasaran yang tinggi malah kita perlu bergerak sebagai pasukan ‘underdog’ dan itu lebih baik,” tambahnya.