PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, menzahirkan dukacita buat keluarga bola sepak Indonesia dengan mengadakan pertemuan dengan PSSI sebagai keluarga serumpun.
Pertemuan itu diwakili oleh Ketua UMUM PSSI Mochamad Iriawan dan Wakil Sekjen PSSI Maaike Ira Puspita.
“Dunia bola sepak sememangnya turut sama berduka dan kami, Malaysia sentiasa ada untuk Indonesia,” katanya menerusi Facebook FAM pada Ahad.
Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, menzahirkan dukacita buat keluarga bola sepak Indonesia dengan mengadakan pertemuan dengan PSSI sebagai keluarga serumpun.
Baca Selanjutnya di:https://t.co/0Mb7wGBjS8#FAM #HarimauMalaya
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 9, 2022
Hamidin tiba di Indonesia kelmarin bagi menyaksikan perlawanan skuad kebangsaan B-16 menentang UAE dan aksi keempat dan terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 2023 menentang tuan rumah, Indonesia, malam ini.
Dalam pada itu, Hamidin juga berkesempatan melawat bekas Setiausaha Agung (Sekjen) PSSI, Nugraha Besoes, di kediamannya.
Nugraha kini 81 tahun dianggap Indonesia sebagai Sekjen ‘Abadi’ PSSI ekoran menggalas tugas itu dalam tempoh 28 tahun dalam dua tempoh berbeza iaitu 1983-1999 dan 2003-2011, sehingga kini difahamkan tiada lagi yang menyamai rekod terbabit.
“Pak Nugraha adalah sahabat baik yang sudah saya anggap umpama ‘abang’ dalam dunia bola sepak, beliau dianggap sekjen abadi di Indonesia kerana setakat ini tiada siapa lagi yang mampu mengatasi rekod 28 tahunnya sebagai sekjen di Indonesia.
“Keadaannya kini kurang sihat tetapi minatnya masih sama, bola sepak. Sama seperti waktu dulu, kami berdua masih mampu berkongsi pandangan berkenaan isu semasa bola sepak semasa kedatangan saya di kediamannya.
“Semoga Pak Nugraha terus diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan bersama keluarga tercinta,” kata Hamidin lagi.