POPULARITI sahaja tidak cukup hebat.  Wang besar juga dipandang!

Kylian Mbappe mengatasi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo dalam senarai teratas Forbes bagi pemain bola sepak mendapat bayaran tertinggi 2022.

Selepas menandatangani kontrak lumayan untuk dia kekal di Paris sehingga 2025, tanpa disangka Mbappe menolak Messi dari senarai teratas pemain yang mendapat bayaran tertinggi.

Malah ada kejutan dalam senarai ranking pemain berpendapatan mewah ini. Beberapa pemain dari Liga Perdana Inggeris juga tersenarai malah ada antaranya kali pertama disenaraikan yang kebanyakannya penyerang dari Norway.

Kita tengok pemain mana dalam Top 10 pendapatan paling lumayan 2022:

Kevin de Bryune RM134.48 juta (AS$29 juta)

Di kedudukan ke-10; De Bruyne mengesahkan dirinya sebagai antara pemain tengah terbaik dalam Liga Perdana Inggeris dengan tanda harga yang ada pada dirinya.

Kehebatan sepasang kakinya itu membolehkan dia meraih pendapatan RM134.5 juta (AS$29 juta) menerusi pendapatan di atas padang, manakala hasil Kerjasama dengan 11 jenama termasuk dari Nike, dia meraih RM18.5 juta (AS$4 juta).

Andres Iniesta RM136.8 juta (AS$30 juta)

Di kedudukan kesembilan; Sejak meninggalkan  Barcelona, Iniesta memahat nama di Jepun. Melalui perniagaannya, dia melancarkan but bola dengan tandatangannya sendiri mensasarkan pasaran di negara matahari terbit itu, membuahkan hasil RM20.86 juta (AS$4.5 juta), tidak termasuk pendapatannya di atas padang.

Dia mendapat bayaran di atas padang brnilai RM115.9 juta (AS$25 juta) untuk 12 bulan.

Eden Hazard RM143.76 juta (AS$31 juta)

Meskipun tidak banyak beraksi sejak berpindah dari Chelsea ke Real Madrid, Hazard masih mampu menempatkan dirinya di kedudukan kelapan dalam senarai 10 pemain berpendapatan tinggi dalam bola sepak dunia.

Pemain antarabangsa Belgium itu meraih pendapatan di atas padang RM125.2 juta (AS$27 juta) dan RM18.5 juta (AS$4 juta) di luar padang.

Robert Lewandowski RM162.31 juta (AS$35 juta)

Lewandowski mencipta sensasi pada perpindahan musim panas apabila meninggalkan Munich untuk ka Catalonia. Penyerang antarabangsa Poland itu meraih pendapatan di luar padang RM37.1 juta (AS$8 juta) termasuk endorsmen bersama Nike untuk jenama pakaian RL9.

Dalam padang pula, dia meraih pendapatan RM125.21 juta (AS$27 juta)

Erling Haaland RM180.86 juta (AS$39 juta)

Haaland, pemain yang debut dalam senarai kali ini, pasti akan memperoleh pendapatan lebih tinggi tahun hadapan. Perjanjian dengan syarikat besar seperti Samsung menyaksikan pemian antarabangsa Norway itu memperoleh RM18.5 juta (AS$4 juta) pendapatan luar padang. Dilaporkan, perjanjian but yang akan dipakainya sahaja bernilai lebih RM83.47 juta (AS$18 juta).

Sementara pendapatannya di atas padang pula bernilai RM162.31 juta (AS$35 juta) apabila dia berpindah ke Liga Perdana musim panas ini.

Mohamad Salah RM245.78 juta (AS$53 juta)

Salah akhirnya menandatangani perjanjian baharu bersama Liverpool, untuk dia kekal di kelab itu sehingga 2025. Pemain berasal dari Mesir itu meraih pendapatan RM162.31 juta (AS$35 juta) untuk aksi di atas padang.

Di luar padang pula, dia kekal sebagai antara ikon Adidas paling berpengaruh di seluruh dunia sehingga meraih pendapatan penajaan bernilai RM83.47 juta (AS$18 juta).

Neymar Jr RM403.46 juta (AS$87 juta)

Perpindahan Neymar dari Barcelona ke PSG pada 2017, masih kekal sebagai perpindahan paling mahal dalam sejarah bola sepak, malah selepas membaharui perjanjian di Paris, dia kekal dalam senarai lima teratas pemain bola sepak berpendapatan tinggi dunia.

Bintang Brazil itu meraih pendapatan RM255.06 juta (AS$55 juta) di atas padang, manakala perjanjian dengan syarikat jenama terkemuka seperti Puma dan Ooredoo Group pula mencecah RM148.40 juta (AS$32 juta).

Cristiano Ronaldo RM463.75 juta (AS$100 juta)

Ronaldo menjadi pemain dengan pendapatan bola sepak termahal di planet ini. Perjanjian dengan syarikat jenama sukan gergasi seperti Nike, Herbalife dan Livescore memberikannya pendapatan RM (AS$60 juta). Biarpun kurang beraksi pada tahun lalu, dia masih meraih pendapatan RM185.50 juta (AS$40 juta) di atas padang.

Namun, angka dalam hidupnya paling memberangsangkan adalah bilangan pengikut instagramnya yang mencecah 486 juta pengikut.

Lionel Messi RM556.50 juta (AS$120 juta)

Pemain yang berada di ranking teratas tahun lalu, akhirnya diketepikan rakan sekelabnya, namun Messi masih memperoleh pendapatan besar sepanjang 12 bulan lalu,

Pemain antarabangsa Argentina itu dilaporkan meraih pendapatan di luar padang RM255.06 juta (AS$55 juta), manakala pendapatan di atas padang pula RM301.43 juta (AS$65 juta).

Kylian Mbappe RM593.60 juta (AS$128 juta)

Mbappe mendatangani kontrak mewah awal tahun ini untuk mengekalkannya di PSG sehingga 2025, namun bintang Perancis itu sememangnya sudah meraih pendapatan yang menakjubkan.

Sepanjang 12 bulan lalu, penyerang itu dibayar RM510.12 juta (AS$110 juta) untuk aksinya di atas padang.

Sementara perjanjiannya bersama EA dan Nike pula membabitkan bayaran RM83.47 juta (AS$18 juta) sebagai penajaan di luar padang.