BEKAS pengendali Skuad Bawah (B19) Tahun Kebangsaan, Hassan Sazali Waras mengucapkan tahniah kepada penyerang muda negara, Haqimi Azim Rosli yang berjaya menembusi senarai akhir 23 pemain ke Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.

Haqimi adalah sebahagian daripada pemain yang membantu skuad negara muncul juara Kejuaraan Piala AFF B20 Tahun di Indonesia Julai lalu dan Hassan mahukan dia bersaing untuk merebut tempat sekaligus dapat mematangkan lagi persembahannya.

Hassan juga berkata ini adalah titik permulaan untuk Haqimi mengembangkan lagi bakat dan prospek dirinya yang kini sudah pun menjadi pemain pilihan Bojan Hodak dalam kesebelasan utama Kuala Lumpur City FC.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Haqimi kerana telah membuktikan kebolehannya kepada barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya terutama kepada Kim Pan Gon.

“Ini adalah titik permulaan buatnya untuk membalas segala kepercayaan yang telah diberikan dan saya berharap dia dapat bersaing merebut tempat dengan pemain yg lebih berpengalaman dalam skuad kebangsaan.

“Ini penting untuk lebih mematangkan lagi permainannya untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi dan berprestij ini. Selamat maju jaya saya ucapkan kepadanya,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Satu kebanggaan diri dan keluarga dapat panggilan kali pertama ke latihan pusat Harimau Malaya’ – Haqimi Azim

Sebelum ini Haqimi turut berkongsi bahawa dia sememangnya memasang hasrat untuk menyarung jersi kebangsaan sejak berusia empat tahun ketika dia mula bermain bola sepak dan mengikuti ayahnya ke stadium dan kini mempunyai peluang untuk melakukannya pada usia 19 tahun.

Haqimi dan 22 pemain lain akan membawa nama negara dalam Piala AFF tahun ini bakal bermula 21 Disember 2022 menentang Myanmar sebelum bertemu Laos, Vietnam dan Singapura untuk perlawanan Kumpulan B.