BAHANG kehangatan Piala Dunia 2022 yang memasuki pentas akhir menjelang pertembungan antara Argentina dan juara bertahan Perancis di Qatar, Ahad malam juga dirasai sehingga ke negara ini.

Bagi menambahkan kerancakkan, House of Sang Kenari (HOSK) 1924 yang menjadi hub berkumpul pemain legenda negara, penyokong dan orang ramai bakal digegarkan sorakan luar biasa setiap kali gol menjelma menerusi siaran langsung yang dipancarkan di sini.

Pengerusi Kelab Legasi Kedah, Mohamad Hazriq Fahimy Abdullah berkata, sejak ditubuhkan hujung Oktober lepas sambutan di HOSK 1924 diterima amat menggalakkan dengan pelbagai lapisan masyarakat yang hadir.

“Mereka nampak teruja bila dapat datang ke sini kerana tidak menyangka ada ruang untuk menyaksikan live ini seperti di stadium. Kita disini juga mempunyai ‘tangga ayam’ atau tempat duduk seperti di stadium. Di samping ada cafe dan juga galeri bola yang tambah memberikan mereka satu pengalaman baru,” ujarnya.

Mohamad Hazriq Fahimy memberitahu, kehadiran bekas pemain Kedah juga memeriahkan suasana kerana para peminat dapat bertanyakan khabar perkembangan semasa selepas tidak lagi beraksi di lapangan.

“Sudah banyak bekas pemain yang hadir seperti Nidzam Adzha, Manja Man, Amirul Nizam, Zulfatah Dzulakarnain, Khamal Idris Ali, pasangan kembar Faraok dan Feriza serta ramai lagi.

“Untuk esok malam live final kita sudah mengesahkan kehadiran coach legenda double treble kita, coach Azraai Khor dan juga lagenda penyerang Faridzuan Che Hamid. Kita juga masih menghubungi beberapa yang lain untuk hadir bersama,” katanya yang berasal dari daerah Yan.

ARTIKEL BERKAITAN : House Of Sang Kenari jadi hub menyatukan seluruh komuniti penyokong bola sepak Kedah

Sementara itu, pihaknya akan mengadakan sesi ‘Borak Santai bersama Legenda Kita’ yang akan bercerita mengenai perjalanan mereka sepanjang dalam karier bola sepak dan kehangatan final Piala Dunia 2022.

“Jom datang beramai-ramai ke HOSK. Kita juga akan mengadakan cabutan bertuah untuk pengunjung bertuah pada malam itu,” katanya.