Pemain beregu campuran negara Wong Tien Ci–Lim Chiew Sien terpaksa tarik diri daripada perlawanan pertama kerana kecederaan buku lali yang dialami oleh Tien Ci.

Tien Ci mengalami kecederaan buku lali yang telah dirasai sebelum kejohanan ini, namun seminggu sebelum saingan bermula beliau tidak lagi merasakan kesakitan dan berada dalam keadaan cergas.

“Sebelum kejohanan memang ada rasa sedikit kecederaan. Semasa sesi latihan terakhir, saya rasa sudah cukup cergas, tetapi ketika perlawanan tadi, kesakitan itu kembali terasa dan lebih teruk berbanding sebelum kejohanan. Selepas berbincang sesama sendiri, kami terpaksa mengambil keputusan untuk menarik diri” katanya.

Walaupun Tien Ci–Chiew Sien tersingkir, mereka kekal optimis dan memberikan fokus untuk kejohanan terdekat kepada Terbuka India yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

“Kejohanan seterusnya ialah Terbuka India, jadi kami perlu berehat dan melihat perkembangan keadaan kecederaan Tien Ci minggu ini. Kami juga akan mendapatkan pandangan daripada ahli fisioterapi sama ada kami masih mampu untuk beraksi atau sebaliknya,” kata Chiew Sien.

“Sudah tentu kami berasa kecewa kerana bermain di laman sendiri dan Terbuka Malaysia adalah salah satu kejohanan terbesar tahun ini. Tiada siapa yang menjangkakan kecederaan akan berlaku, tetapi buat masa ini kami akan melakukan yang terbaik untuk pulih sepenuhnya dan kembali ke gelanggang secepat mungkin.”

Tien Ci-Chiew Sien berazam untuk bangkit daripada kekecewaan awal musim, serta memberi komitmen untuk kekal fokus dan berusaha untuk memperbaiki prestasi mereka untuk bersaing sepanjang tahun.

“Kami memohon maaf atas permulaan yang kurang baik pada tahun 2026, namun perjalanan masih panjang. Kami akan terus mengekalkan sikap positif dan menantikan sejauh mana kami mampu melangkah dalam karier kami,” kata Chiew Sien.

Mengikut prestasi semasa, pasangan itu telah merekodkan dua kemenangan daripada lima perlawanan yang ditempuh setakat ini, dan kini mengalihkan sepenuh tumpuan mereka ke arah persiapan menghadapi Terbuka India 2026.