TEKONG kebangsaan, Syahir Rosdi, menerima pengiktirafan tertinggi apabila dinobatkan sebagai Tekong Terbaik Dunia oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).
Pengiktirafan itu dimaklumkan menerusi sijil rasmi ISTAF yang dikongsikan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di platform media sosial mereka, sekali gus mengangkat status Syahir sebagai antara pemain terbaik dunia ketika ini.
“Tahniah Muhammad Syahir Mohd Rosdi atas pengiktirafan dari Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF). Andalah tekong terbaik dunia!” menurut kenyataan PSM.
Menurut ISTAF, pemilihan Syahir dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama termasuk kemahiran teknikal bertaraf elit, kecerdasan taktikal, ketahanan mental yang tinggi serta keupayaan mengekalkan prestasi cemerlang dalam pertandingan berintensiti tinggi.

Sijil rasmi ISTAF yang dikongsikan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia di platform media sosial.
Selain keupayaan di gelanggang, Syahir turut diiktiraf atas sumbangannya yang besar kepada pembangunan sepak takraw di peringkat nasional dan antarabangsa, selain konsisten mempamerkan nilai profesionalisme serta integriti kesukanan.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, menyatakan bahawa gabungan semua faktor berkenaan melayakkan tekong Melaka Titans itu menerima pengiktirafan sebagai tekong terbaik dunia.

Datuk Abdul Halim Kader menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan
Pengiktirafan tersebut hadir selepas Syahir memainkan peranan penting membantu kontinjen sepak takraw Malaysia meraih dua pingat emas pada Sukan SEA 2025, satu pencapaian bersejarah yang kali terakhir dicapai pada edisi 1991 di Manila, Filipina.
Tekong berusia 28 tahun itu menyumbang emas dalam acara regu berpasukan dan regu, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai tonggak utama skuad sepak takraw negara di pentas antarabangsa.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan menyifatkan kejayaan itu wajar dengan berkata, “Kesungguhan, disiplin dan keazaman Syahir selepas melalui pelbagai cabaran menjadikannya contoh terbaik buat pemain muda.”
Dalam perkembangan lain, Sumali mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 di Stadium Titiwangsa dari 15 hingga 24 Mei depan.
Kejohanan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu bakal menyaksikan 26 negara beraksi, sekali gus mengangkat Kuala Lumpur sebagai pentas takraw dunia.