SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada unsur jenayah dalam siasatan terhadap seorang pegawai tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sekali gus tidak mengambil sebarang tindakan lanjut.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, BAM bagimanapun menyatakan kesediaan menerima dan melaksanakan cadangan dari SPRM supaya memperkukuh aspek tadbir urus.
“Sebagai sebuah badan sukan yang dinamik, BAM akan memastikan setiap cadangan yang diberikan dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan dikongsi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di laman Facebook rasmi mereka.
BAM turut merakamkan penghargaan kepada penaja yang kekal setia memberikan sokongan penuh walaupun persatuan melalui tempoh mencabar.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan siasatan terhadap dakwaan salah laku itu berakhir selepas tidak menemui sebarang bukti jenayah. Siasatan tersebut susulan laporan surat layang yang diterima SPRM, yang kini disifatkan selesai.
Pada Disember lalu, media melaporkan kehadiran lima pegawai SPRM di pejabat BAM di Kuala Lumpur untuk meneliti dokumen, termasuk minit mesyuarat, bagi tujuan siasatan. BAM kemudian mengesahkan kerjasama penuh diberikan kepada SPRM sepanjang proses itu.