KEDAH Darul Aman Football Club (KDA FC) mengumumkan pelantikan Ahmad Fauzi Saari sebagai penyelaras pasukan untuk musim 2024-2025.
Fauzi, seorang legenda bola sepak Kedah yang merupakan sebahagian daripada era Double Treble yang mengagumkan, kini kembali ke keluarga Sang Kenari dengan tugas yang memerlukan.
“Selamat datang ke keluarga Sang Kenari Pak Long!” kata pihak pengurusan KDA FC dalam kenyataan rasmi mereka.
“Bagai sirih pulang ke gagang, kehadiran Ahmad Fauzi cukup menggembirakan semua pihak, terutamanya pihak pengurusan dan penyokong, dengan membawa kembali aura kegemilangan zaman dahulu.”
Fauzi akan berperanan sebagai ketua pengurusan pasukan Liga Super Kedah. Pengalaman beliau sebagai seorang pemain terkenal dan ahli perniagaan yang berjaya sebelum ini dijangka akan memberi sumbangan besar kepada kejayaan pasukan Sang Kenari di dalam dan di luar padang.
“Walaupun bergelut dengan beberapa isu musim lepas, melihat pada persiapan terkini, saya percaya prospek yang lebih cerah untuk kita capai prestasi lebih baik tahun ini.
Peluang kembali bergandingan dengan rakan sepasukan Double Treble, Nafuzi Zain, Victor Andrag dan Hadi Hamid merupakan pengalaman menyeronokkan tapi tahun ni kita usaha untuk kembalikan memori kegemilangan dulu walaupun sangat sukar tapi tidak mustahil,” kata Ahmad Fauzi.
Dalam satu masa di mana motivasi daripada pemain berpengalaman sangat diperlukan, kehadiran Fauzi sebagai penyelaras pasukan dianggap tepat pada masanya.
Beliau diharapkan dapat membawa kebangkitan kepada KDA FC dan meneruskan warisan kejayaan yang telah dibina sebelum ini.
Diharapkan dengan pengalaman dan kepakaran Fauzi juga, KDA FC dapat mencapai kejayaan yang lebih gemilang dalam musim yang akan datang.