Hari penentuan buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya kini tiba apabila pendengaran kes di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berlangsung di Lausanne, Switzerland.
Prosiding berkenaan menjadi detik paling penting dalam polemik yang melanda skuad kebangsaan sejak beberapa bulan lalu, dengan keputusan dijangka diketahui seawal jam 5 pagi Jumaat waktu Malaysia.
Pendengaran kali ini memberi fokus kepada status dan hukuman yang dikenakan terhadap tujuh pemain terbabit, bukannya mencabar keputusan keseluruhan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA). Rayuan yang dikemukakan lebih menjurus kepada usaha mendapatkan pengurangan atau pelarasan hukuman yang dikenakan sebelum ini.
Terdahulu, tujuh pemain berkenaan — Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Héctor Hevel — digantung selama 12 bulan bermula September lalu susulan isu berkaitan kelayakan serta dokumentasi.
Bagaimanapun, pada Januari lalu CAS mengeluarkan arahan Penangguhan Pelaksanaan (stay of execution) yang membolehkan kesemua pemain kembali beraksi sementara menunggu keputusan penuh rayuan.
Keputusan yang bakal diumumkan awal pagi Jumaat ini bukan sahaja menentukan nasib tujuh pemain berkenaan, malah memberi kesan langsung terhadap perancangan FAM dan skuad Harimau Malaya menjelang jadual padat termasuk kempen kelayakan dan kejohanan utama tahun ini.
Sekiranya hukuman dikekalkan, ia akan menyaksikan pemain terlibat perlu menjalani baki penggantungan seperti ditetapkan. Namun jika diringankan, pintu kembali ke pentas antarabangsa bakal terbuka lebih awal buat mereka.
Kini, seluruh tumpuan arena bola sepak tanah air terarah kepada keputusan CAS yang bakal merungkai episod panjang ini dan menentukan hala tuju seterusnya buat FAM serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.