HASRAT skuad futsal wanita negara untuk meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan A Kejuaraan Futsal Wanita ASEAN tidak kesampaian apabila diikat 4-4 oleh Indonesia pada malam Rabu.
Malaysia turun dengan misi wajib menang bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir, manakala Indonesia turut memburu keputusan positif untuk merebut slot naib juara kumpulan.
Dua tonggak utama, Nur Lyana Soberi dan Intan Sarah Anisah Zulgafli disenaraikan dalam kesebelasan utama, mencerminkan kesungguhan barisan kejurulatihan untuk memburu tiga mata penuh.
Namun Indonesia terlebih dahulu mengejutkan kem negara apabila Nisma Rusdiana meledak dua gol pantas pada minit keenam dan kelapan untuk meletakkan lawan di depan 2-0.
Malaysia bangkit segera menerusi jaringan Syafiqah Zainal pada minit kelapan sebelum Ayuni Anjani menyamakan kedudukan dua minit kemudian, sekali gus menghidupkan semula semangat skuad negara.
Lyana memastikan Malaysian Tigress berada di hadapan pada minit ke-14 dan keputusan 3-2 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, Malaysia terus menggandakan asakan dan hasilnya Syafiqah mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-18 untuk melebarkan kedudukan kepada 4-2.
Indonesia enggan mengalah apabila Fitri Amelya merapatkan jurang pada minit ke-25 sebelum detik malang menimpa Malaysia apabila jaringan sendiri Syafiqah pada minit ke-33 memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia kini menduduki tangga kedua Kumpulan A dengan satu mata dan bakal berdepan Thailand pada 26 Februari dalam aksi penentuan sama ada mampu mengiringi juara kumpulan ke separuh akhir atau sebaliknya.