TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah, menyatakan rasa bangga terhadap pembabitan Nurul Azurin Mazlan yang bakal beraksi dalam Liga Albania.

Azurin, pemain posisi penjaga gawang yang pernah beraksi bersama pasukan Melaka selama tiga hingga empat tahun, telah membuktikan keberaniannya mencabar diri di pentas antarabangsa.

Menurut Siti Faidul Maisarah, langkah Azurin untuk menyertai kelab luar negara bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Sebelum ini, Azurin telah mencipta sejarah dengan menyertai sebuah kelab di India pada tahun 2022, menunjukkan bahawa pemain wanita Malaysia mampu mengembangkan bakat di arena antarabangsa.

“Saya tidak pelik jika dia memilih untuk keluar negara kerana sejak awal, Azurin sudah menunjukkan keberanian dan komitmen tinggi. Langkah pertamanya ke India ketika itu membuka mata banyak pihak tentang potensi pemain wanita Malaysia,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Beliau turut menekankan bahawa bermain di luar negara bukanlah sesuatu yang mudah kerana pemain perlu berdepan pelbagai cabaran seperti budaya, bahasa, cuaca, dan gaya permainan yang berbeza.

Namun, beliau percaya bahawa pengalaman ini akan mematangkan Azurin sebagai seorang atlet.

“Keputusan ini sangat baik untuknya. Ia bukan sahaja memberi pendedahan luas dalam aspek bola sepak, malah mencipta nama Malaysia di pentas antarabangsa. Secara tidak langsung, Azurin membawa nama negara ke persada dunia,” tambah beliau.

Siti Faidul Maisarah yang juga Exco FAM berharap agar lebih ramai pemain wanita Malaysia mengikut jejak langkah Azurin untuk mencuba nasib di luar negara.

Langkah ini bukan sahaja baik untuk pembangunan bakat mereka, malah untuk meningkatkan imej bola sepak wanita Malaysia di mata dunia.

“Peluang ini adalah sesuatu yang positif. Kita harus menyokong dan memberi dorongan kepada pemain-pemain seperti Azurin. Mereka adalah duta kecil Malaysia di luar sana,” ujarnya.

Azurin ketika beraksi bersama pasukan Sabah FA tahun lepas.

ARTIKEL BERKAITAN : Azurin Mazlan sertai kelab Albania, KFF Vllaznia

Beliau berharap FAM dan masyarakat akan terus memberi sokongan padu kepada Azurin dan mana-mana pemain yang bercita-cita untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

“Langkah berani Azurin adalah satu inspirasi untuk pemain wanita lain di Malaysia,” katanya.