SEMALAM buat kali pertama sejak tiba di Doha pada Khamis untuk membuat liputan menyeluruh skuad Harimau Malaya di Piala Asia 2023 kami berkesempatan berkunjung ke Universiti Qatar.
Kami ke sini tentunya bukan untuk menghadiri kuliah !
Sebaliknya, Universiti Qatar adalah markas latihan penuh pasukan Malaysia sepanjang saingan Kumpulan E, membabitkan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.
Menariknya, padang latihan yang digunakan oleh skuad Kim Pan-gon pernah menyaksikan kelibat Lionel Messi dan skuad kebangsaan Argentina berlatih semasa kempen Piala Dunia 2022 dan muncul juara pada tahun tersebut.
Difahamkan, Universiti Qatar berstatus satu-satunya perguruan tinggi negeri yang dimiliki Qatar.
Dalam Google Maps ditulis Padang Latihan 3 dan 4 sempena Piala Dunia, tetapi kini dah dinamakan sebagai Padang 10 untuk pasukan Malaysia.
Untuk ke Universiti Qatar, anda boleh menggunakan MRT Metro Doha dan turun terus di Stesen Universiti Qatar.
Dari Stesen Universiti Qatar, bas kecil sedia untuk membawa anda. Maklumlah, Universiti Qatar sangat luas.
Informasi kami terima, khusus untuk Piala Asia 2023, kuliah memang ditutup supaya bas memberi tumpuan untuk mengambil media untuk membuat liputan latihan pasukan Malaysia dan Hong Kong.
Sebelum ini, Argentina dan Sepanyol turut menjadikan Universiti Qatar sebagai tempat penginapan mereka semasa Piala Dunia 2022.
Carian maklumat kami turut menemui stadium yang dipanggil Stadium Universiti Qatar.
Stadium ini boleh memuatkan 10,000 penonton. Bukan sekadar bola sepak, Stadium Universiti Qatar juga dilengkapi dengan trek olahraga.
Semoga pasukan Harimau Malaya dapat tempias aura pasukan yang pernah bermain di Piala Dunia dan sekurang-kurangnya mencetuskan sensasi mara ke Pusingan 16.