PEMAIN tengah Kuala Lumpur City FC dan Harimau Malaya, Brendan Gan, menyatakan bahawa pasukan kebangsaan Malaysia tidak memerlukan revolusi besar-besaran, sebaliknya hanya perlu meneruskan momentum positif yang telah dibina oleh barisan kejurulatihan terdahulu.

Ketika ditemui selepas sesi Shopee Cup Trophy Tour dan Meet and Greet bersama penyokong di Cheras, Brendan mengingatkan bahawa banyak pencapaian Harimau Malaya sering kali dilupakan akibat beberapa keputusan buruk.

“Bila anda sebut revolusi, saya rasa itu agak tidak menghormati kerja keras yang telah dilakukan oleh barisan kejurulatihan sebelum ini.

“Pasukan Malaysia sudah mencapai banyak perkara positif di bawah pimpinan mereka, dan kita tidak seharusnya melupakan pencapaian itu hanya kerana satu perlawanan tidak berjalan seperti yang diharapkan,” katanya.

Brendan turut menyatakan keyakinannya terhadap hala tuju baru Harimau Malaya di bawah pengurusan dan jurulatih baru, yang disifatkannya mempunyai visi yang jelas untuk memacu pasukan ke arah kejayaan.

“Saya rasa penting untuk pasukan kebangsaan mempunyai sasaran jelas tentang apa yang mahu dicapai.

“Dengan kumpulan pemain yang betul dan perancangan yang rapi, saya percaya masa depan Harimau Malaya akan terus cerah,” tambahnya.

“Pemain Warisan Perlu Cintai Lencana”

Sebagai salah seorang pemain warisan terawal dalam skuad Harimau Malaya, Brendan juga menyentuh mengenai gelombang baru pemain warisan yang bakal menyertai pasukan.

Beliau menekankan kepentingan untuk setiap pemain warisan memahami tanggungjawab mereka terhadap lencana dan jersi kebangsaan.

“Nasihat saya kepada pemain warisan  yang akan datang adalah anda perlu benar-benar mencintai lencana di dada anda.

“Bermain untuk Malaysia adalah satu penghormatan besar, dan itu perlu menjadi keutamaan setiap kali anda turun ke padang.

“Anda boleh bermain dengan baik, tetapi jika tidak ada rasa cinta dan kebanggaan terhadap jersi yang anda pakai, ia tidak cukup. Anda perlu lakukan kedua-duanya, bermain dengan baik dan mencintai lencana itu,” jelas Brendan.

Brendan Gan merupakan antara pemain warisan terawal bersama Harimau Malaya di era moden ini dan semangat serta jiwanya yang membara bersama Skuad Harimau Malaya sering di tampil di atas padang.

Beliau turut memuji prestasi pemain warisan yang menyertai skuad Harimau Malaya dalam kejohanan ASEAN Mitsubishi Electric baru-baru ini.

“Mereka berjaya melakukan tugas dengan sangat baik bersama skuad yang ada. Saya percaya mereka akan terus menyumbang dengan cara yang hebat untuk pasukan kebangsaan,” katanya.

Dengan perubahan positif dan penyertaan pemain warisan yang semakin ramai, Brendan yakin Harimau Malaya berada di landasan yang tepat untuk terus berkembang dan memberikan saingan di pentas antarabangsa.

Penyokong pastinya berharap semangat cinta terhadap lencana yang disebut oleh Brendan akan menjadi asas kekuatan Harimau Malaya pada masa hadapan.