Harimau Malaya berdepan perlawanan hidup mati apabila wajib menewaskan Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B Piala Hyundai ASEAN 2026 bagi memastikan impian mara ke separuh akhir terus bernyawa.

Keputusan selain kemenangan bakal menyaksikan kempen skuad kebangsaan berakhir di peringkat kumpulan, sekali gus menjadikan pertemuan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu sebagai aksi paling penting buat anak buah Tan Cheng Hoe setakat ini.

Pengendali interim negara itu mengakui tekanan yang bakal dihadapi pasukannya cukup tinggi, namun yakin pemain sudah membuat persiapan rapi dari aspek mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran tersebut.

“Ini adalah perlawanan yang sangat penting dan begitu kritikal buat kami. Tetapi apa yang paling penting, saya tahu barisan pemain saya sudah bersedia dan kami sangat fokus untuk perlawanan terakhir dalam kumpulan ini.

“Seperti yang kita tahu, kami mesti memanfaatkan kelebihan bermain di tempat sendiri dan saya berharap pemain benar-benar bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Sasaran pertama kami adalah fokus satu perlawanan demi satu perlawanan. Kami mahu pasukan ini mara ke separuh akhir kerana ia akan meningkatkan motivasi pasukan, penyokong dan negara,” katanya pada sidang media pra perlawanan.

Cheng Hoe turut berharap kehadiran penyokong yang dijangka memenuhi stadium mampu memberikan suntikan semangat kepada pemain dalam aksi yang bakal menentukan nasib Harimau Malaya.

Menurutnya, sokongan padu daripada penyokong boleh menjadi kelebihan penting, namun beliau mengingatkan pemain supaya tidak dibelenggu tekanan sepanjang 90 minit perlawanan.

“Sudah tentu sebagai jurulatih atau pemain, kami mahu melihat suasana seperti ini. Suasana seperti ini benar-benar memberikan motivasi kepada kami, tambahan tenaga yang kita panggil sebagai pemain ke-12.

“Saya berharap pemain tidak terlalu merasakan tekanan. Tuntutan untuk perlawanan esok memang sangat tinggi tetapi fokus dari wisel pertama hingga wisel terakhir sangat penting.

“Kita perlu percaya dan yakin untuk turun ke padang dengan semangat berpasukan yang baik,” katanya.

Mengulas mengenai lawan, Cheng Hoe menjangkakan Filipina akan memberikan tentangan sengit memandangkan kedua-dua pasukan memiliki gaya permainan yang hampir sama dan sudah saling mengenali corak permainan di pentas Asia Tenggara.

“Saya fikir mereka gemar bermain secara penguasaan bola, kombinasi yang baik, jadi ia mempunyai persamaan dengan cara permainan kami. Saya pasti perlawanan esok akan menjadi perlawanan yang baik dan menghiburkan penyokong yang hadir.

“Namun tiada perkara lain yang kami mahukan selain keputusan positif dan keputusan yang baik untuk kami mara ke pusingan seterusnya, iaitu separuh akhir,” katanya.

Kemenangan ke atas Filipina bukan sahaja memastikan Harimau Malaya terus bersaing dalam kejohanan, malah menjadi langkah penting untuk menghidupkan semula harapan penyokong melihat skuad negara melangkah lebih jauh dalam Piala Hyundai ASEAN 2026.