PERLAWANAN Liga M3 menyaksikan pasukan Harini Selangor FT menang bergaya 3-0 ke atas Bukit Tambun FC dalam usaha merebut slot ke Piala Malaysia.
Harini Selangor FT menggunakan kelebihan beraksi di rumah sendiri apabila berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Khyril Muhymeen seawal minit kedua pada separuh masa pertama.
Skuad Tambun FC pula dilihat cuba untuk mengejar gol dengan melakukan beberapa serangan namun tidak berjaya dan keputusan kekal 1-0 pada separuh masa pertama.
Menjelang separuh masa kedua, Harini Selangor FT sekali lagi berjaya mendapatkan gol hasil tendangan penalti daripada Zulkifli Zakaria pada minit ke-50 menjadikan kedudukan pasukan jurulatih Maniam selesa dihadapan dengan 2-0.
Gol penalti yang dihasilkan Zulkifli itu sekali gus mencatatkan sembilan gol peribadinya pada musim ini.
Bukit Tambun FC dikejutkan lagi dengan satu lagi hantaran gol daripada pemain Selangor FT pada minit 90, Fikri Mohamed Shah yang membawa laju bola hingga menembusi gawang pihak lawan.
Keputusan kekal 3-0 hingga akhir perlawanan.
Tiga gol penting yang diperolehi Selangor FT sekali gus menjarakkan kedudukan Bukit Tambun FC dan menjadikan skuad anak buah Maniam semakin hampir ke slot Piala Malaysia 2023.
Selangor FT kini mengutip 23 mata, ketinggalan tiga mata di belakang pasukan pendahulu, Kuala Lumpur Rovers.