MALAYSIA kembali menjadi tuan rumah Hoki FIH Piala Piala Dunia Remaja Malaysia 2023, selepas kali terakhir menganjurkannya pada 2009, di Johor Bahru.

Begitupun, laluan berliku buat Young Tigers, apabila undian menyaksikan skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim berada dalam kumpulan A, bersama penyandang juara, Argentina.

Bagi Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal, semua pasukan yang hadir ke Kuala Lumpur nanti adalah yang terbaik di dunia dan sebagai tuan rumah, Malaysia perlu memberikan persembahan terbaik seawal saingan peringkat kumpulan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hadir melancarkan logo Hoki FIH Piala Piala Dunia Remaja Malaysia 2023. Hadir sama Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal. Pix HOKITA

“Undian dibuat oleh FIH (Persekutan Hoki Antarabangsa) dan kita terpaksa menerima hakikat kerana untuk bermain di Piala Dunia (remaja), tidak boleh katakan ada kumpulan mudah dan tak mudah. Semua pasukan adalah kuat dan kita perlu berikan yang terbaik.

“Tetapi… InsyaAllah, saya cukup yakin dengan pasukan yang ada dan mereka akan memberikan tentangan yang baik, mungkin kita akan buat beberapa kejutan dan mara ke pusingan kedua (suku akhir dan seterusnya),” kata Subahan kepada media selepas majlis pelancaran logo rasmi Piala Dunia Remaja Lelaki 2023, pada Sabtu.

Hadir merasmikan pelancaran, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, disaksikan Subahan dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

 

“Saya mengharapkan ada banyak lagi aktiviti sampingan semasa tempoh penganjuran kejohanan nanti. Seperti saya jelaskan tadi, kita kena babitkan murid sekolah untuk mereka melihat sendiri yang ini adalah Piala Dunia untuk hoki.

“Biasanya, mereka melihat Piala Dunia bagi bola sepak, tetapi apabila mereka ada peluang menonton, mungkin rasa minat itu akan wujud untuk mereka belajar bermain (hoki),” kata Hannah yang turut mengharapkan kejohanan ini akan membantu melonjakkan lagi impak ekonomi negara.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Argentina, Australia dan Chile manakala Kumpulan B disertai Jerman, Perancis, Afrika Selatan dan Mesir. Berada dalam Kumpulan C adalah India, Sepanyol, Korea Selatan dan Kanada manakala Belanda, Belgium, Pakistan dan New Zealand diundi dalam Kumpulan D.

Dalam majlis sama, Subahan turut mengumumkan Mercure Living Hotel Putrajaya dan The Pearl Kuala Lumpur Hotel dipilih selaku venue penginapan rasmi pasukan yang bertanding manakala Ibis PJCC Petaling Jaya menjadi venue penginapan bagi pengamal media.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah adalah pada 2009 dengan pada ketika itu menjadi penganjur bersama Singapura.

Ketika itu, Malaysia menamatkan kempen Piala Dunia Remaja di kedudukan ke-12 daripada 20 pasukan.