PENYERANG lincah Terengganu FC, Muhammad Faisal bin Abdul Halim berkata dia tidak sangka dapat menjaringkan gol kedua buat pasukan kebangsaan.
Menurut pemain yang digelar ‘Mickey’ ini, dia terpaksa membuat keputusan pada saat terakhir untuk melepaskan rembatan deras namun rezeki memihaknya apabila bola tersebut tetap menerjah jaring.
Pengalamannya bermain di Liga Super bersama pemain-pemain import jelas membantu prestasinya dalam bola sepak kebangsaan.
Baginya, kejayaan pada malam tadi bukanlah hanya bersifat individu sebaliknya adalah bantuan dari semua pihak.
“Sebenarnya, kalau kita melihat dalam televisyen memang kita nampak ‘angle’ yang luas.
“Dua kali saya melihat penjaga gol, saya tak rasa saya boleh jaringkan gol itu.
“Sudut yang saya ambil itu bukanlah sudut menjaringkan gol tetapi apabila bola tersebut menerjah jaring, saya rasa memang satu kebanggaan bagi saya dan rakyat Malaysia.
“Intensiti permainan lebih laju, kalau kita bermain di liga kita sendiri, kita bersaing dengan import juga, semua besar-besar juga.
“Itulah pengalaman di liga membantu saya di kejohanan pertama peringkat antarabangsa.
“Saya menanti saat ini sudah lama, tapi pada malam ini jurulatih telah beri saya peluang, saya gunakan sebaik mungkin.
“Kalau saya seorang saya tidak akan menjadi bagus, saya mesti ada rakan-rakan saya di belakang , penyokong dan jurulatih yang memberikan kita tunjuk ajar,” ujarnya semasa Sidang Media selepas perlawanan.
Kemenangan tersebut dilihat bakal menjadi tonik terbaik bagi skuad Pan Gon buat dua perlawanan seterusnya menentang Bahrain (11 Jun), Bangladesh (14 Jun).