Select Page

Hassan akui objektif tercapai dalam saingan Piala Thanh Nien

Hassan akui objektif tercapai dalam saingan Piala Thanh Nien

PENGENDALI Skuad Bawah 19 Tahun Kebangsaan (B-19), Hassan Sazali Waras nyata gembira dengan keputusan yang diperolehi di kejohanan jemputan Piala Thanh Nien kerana mencapai objektif utama penyertaan.

Ini selepas Hassan membawa muka-muka baharu di kejohanan yang berlangsung di Binh Duong, Vietnam sebagai antara persiapan bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia AFC B-20 Tahun di Mongolia September depan.

Hassan juga turut memuji barisan pemain yang memberikan persembahan yang cemerlang meskipun tewas dengan penentuan penalti 4-3 kepada tuan rumah dalam perlawanan akhir.

Hassan Sazali Waras

“Keseluruhannya saya berpuas hati terutama dengan muka-muka baharu ini. Saya hanya mempunyai enam pemain utama namun pemain menunjukkan aksi yang baik dan mereka akan disenaraikan untuk latihan pusat yang akan bermula dari 1 hingga 10 September ini.

“Menerusi kejohanan ini saya mempunyai ‘pool players’ yang banyak dan saya kini saya sudah mendapat gambaran 28 pemain yang akan terpilih ke latihan pusat dan 23 senarai akhir yang akan dibawa ke Mongolia.

“Objektif utama penyertaan di kejohanan ini uintuk mendapat minit permainan dan melawan skuad yang kompetitif seperti Thailand, Vietnam dan Myanmar yang membariskan 95 peratus  pemain dari kejohanan AFF B-19 tahun yang baru berakhir.

“Selain itu, objektif membawa pemain baharu juga tercapai dan jika dilihat semalam kita berjaya bangkit walaupun tewas pada penentuan penalti,” kata Hassan ketika ditemui FLASH SUKAN sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Skuad B-19 Tahun Kebangsaan berjaya layak dalam dua final kejohanan yang berbeza sekaligus memberikan keyakinan sebelum menghadapi ujian sebenar di Mongolia nanti.

 

Video Terkini

Loading...