HERITAGE Ride Taiping 2025 membuka tirai dengan ledakan warna dan sorakan lebih 2,200 peserta, menjadikan Taiping kembali ‘bernyawa’ sebagai bandar warisan paling hidup di atas dua roda.

Peserta dari seluruh negara memenuhi Dataran Warisan Taiping seawal jam 7 pagi sebelum dilepaskan menyusuri laluan 90km, 60km dan 20km yang menghidangkan panorama Sepetang hingga Kamunting yang sukar ditandingi.

Kayuhan kali ini bukan sekadar perlumbaan podium, tetapi pesta gaya hidup sihat yang menyatukan pelumba profesional, peminat santai dan keluarga dalam satu komuniti yang bergerak serentak.

“Tahun lalu kita sambut 150 tahun Taiping, tahun ini kita sambung semangat itu – menjadikan warisan sebagai momentum,” kata Ahli Parlimen Taiping, YB Wong Kah Woh yang mahu acara ini terus menyatukan masyarakat melalui sukan dan sejarah.

Suntikan penaja utama baharu, Kademy Sdn Bhd, menyemarakkan penyertaan generasi muda termasuk 250 pelajar berusia 7 hingga 17 tahun yang menyertai secara percuma hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

KTM turut mencuri tumpuan apabila menyediakan tren khas tanpa henti untuk peserta dan basikal mereka, yang habis ditempah sekali gus menjadikan Taiping kembali meriah lebih awal dengan limpahan pengunjung.

Dengan kehadiran trak makanan, cabutan bertuah dan sokongan padu pelbagai penaja serta agensi kerajaan, Heritage Ride 2025 terus menegaskan bahawa Taiping ialah lokasi di mana warisan, kesihatan dan komuniti bergerak seiring menuju masa depan lebih aktif.