TENGKU Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah putera kepada Sultan Pahang bakal membawa nama negara ke pentas Sukan SEA 2025 apabila dipilih sebagai salah seorang atlet skuad Equestrian polo Malaysia bagi edisi ke-33 di Thailand, pada 9 hingga 20 Disember ini.

Penyertaan baginda bukan sekadar menambah kekuatan pasukan, tetapi turut membawa nilai simbolik, mengikut jejak ayahanda baginda, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang pernah meraih pingat emas polo di Sukan SEA 1983 di Singapura.

Kehadiran Tengku Muhammad mencerminkan kesinambungan tradisi yang telah lama mengangkat martabat polo Malaysia. Pengalaman luas baginda dalam pelbagai kejohanan antarabangsa dijangka memberi suntikan strategik apabila Malaysia turun beraksi di Samut Prakan.

Acara polo Sukan SEA kali ini akan berlangsung di VS Sports Club dan Siam Polo Park, Samut Prakan, lokasi yang dianggap antara venue terbaik di Thailand dan sering menjadi tuan rumah kejohanan bertaraf antarabangsa.

Pemilihan venue berkualiti tinggi memberi peluang kepada atlet negara termasuk Tengku Muhammad untuk beraksi dalam persekitaran yang mencabar dan kompetitif, sekali gus menguji kekuatan taktikal serta keserasian pasukan.

Malaysia turut hadir dengan barisan pemain mantap yang menjadi nadi utama pasukan. Antara pemain lain yang bakal membawa cabaran negara ialah Muhammad Shahir Akmal Mohd Shah, Amran Selamat, Abdul Rashid Hasnan, Azhar Mustapha, Mohd Zulhelmi Nadzar, Muhammad Edham Haji Shaharuddin, Tengku Ahmad Shazril Ezzani, dan Ikwan Hafiz Jamaludin. Kombinasi pengalaman dan tenaga muda ini mewujudkan keseimbangan yang penting dalam pencarian rentak terbaik di Thailand.

Dengan pertandingan yang dijangka menghimpunkan pasukan terbaik Asia Tenggara, Malaysia menyasarkan aksi lebih meyakinkan kali ini. Kombinasi pemain berpengalaman dan bakat muda termasuk Tengku Muhammad membuka lembaran baharu terhadap potensi skuad Equestrian polo negara untuk mencipta kejutan di Samut Prakan.

Harapan kini disandarkan kepada disiplin, strategi dan semangat berpasukan untuk memastikan Malaysia pulang dengan kejayaan.